Ketajaman Erling Haaland dalam menjaringkan gol bersama Manchester City telah mencetuskan sensasi biarpun beliau baru sahaja menyertai kelab itu.
Kelincahan pemain tinggi lampai ini sememangnya sukar untuk disekat oleh mana-mana pemain lawan di Premier League (EPL) ketika ini.
Setakat ini selepas 11 perlawanan di EPL, pemain berusia 20 tahun itu sudah menjaringkan 17 gol dan tiga bantuan gol.
Malah kegilaan Haaland di depan gol menyebabkan peminat EPL begitu marah sehingga ada diantara mereka telah membuat petisyen untuk menghalang beliau daripada beraksi di liga tersebut.
Ini membuktikan penyerang City tersebut berada pada prestasi sangat luar biasa sehingga peminat terpaksa melakukan perkara tersebut agar kelab mereka tidak menjadi ‘korban’ Haaland.
Dengan prestasi terbaiknya ketika ini, mampukah Haaland memotong rekod jaringan semusim yang pernah direkodkan oleh bekas pemain Barcelona, Lionel Messi pada tahun 2012?
Menurut International Federation of Football History & Statistics (IFFHS), Messi mencetak 91 jaringan bagi kesemua kejohanan yang telah disertai pada tahun tersebut.
Messi berada di kemuncak prestasi terbaiknya ketika itu dan sehingga kini, tiada mana-mana individu mampu mengatasi jumlah jaringan itu.
Di zaman kegemilangan Messi, boleh dikatakan setiap kejohanan yang disertai pasti beliau akan menjaringkan gol cuma ketika saingan Copa America saja yang beliau gagal meledak jaringan.
Dengan prestasi menakjubkan dipamerkan oleh Haaland ketika ini, beliau dilihat seperti mampu untuk mencabar rekod yang dibuat oleh Messi.
Pemain dari Norway ini perlu mencetak jaringan dalam setiap perlawanan dan tidak boleh mengalami kecederaan panjang jika berhasrat untuk memegang status penjaring terbanyak semusim.
Setakat ini, Haaland telah mengumpul 36 jaringan untuk kesemua kejohanan termasuk bersama negaranya.
Jika kita buat kiraan matematik secara ringkas, untuk EPL, Haaland masih ada baki 27 perlawanan dan untuk UEFA Champion League (UCL), sembilan perlawanan jika City layak ke perlawanan akhir.
Belum termasuk lagi perlawanan untuk saingan domestik yang lain dan perlawanan bersama skuad kebangsaan.
Secara ringkas, jika Haaland dapat menjaringkan dua gol setiap perlawanan, beliau akan lakar satu rekod baharu.
Satu lagi fakta menarik, ketika Messti berada kemuncak prestasinya, jurulatih waktu itu adalah Pep Guardiola dan ketika ini, Haaland juga berada dibawah individu yang sama.
Adakah Guardiola dapat mencipta seorang lagi penyerang yang boleh membuat rekod terbanyak jaringan sepanjang tahun?