Insiden pergaduhan yang berlaku pada aksi final Piala Menteri Besar Terengganu membabitkan Terengganu II dan Penang lalu wajar diambil tindakan tegas oleh badan yang berkenaan.
Aksi pergaduhan tersebut berlaku antara pemain kedua pasukan ketika penghujung separuh masa pertama perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu tersebut telah memaksa perlawanan itu ditamatkan dengan lebih awal.
Irfan Bakti Abu Salim yang merupakan jurulatih berpengalaman negara menyifatkan insiden tersebut wajar diberi hukuman keras sebagai suatu bentuk amaran dan memberi pengajaran buat semua pemain dan pegawai terlibat supaya tidak menjadi ikutan buat para pemain lain pada masa hadapan.
Irfan jelas melahirkan rasa kesal dengan insiden tersebut yang berlaku sewaktu latihan pramusim yang mana beliau berpendapat tempoh tersebut sepatutnya digunakan sebaik mungkin oleh setiap pasukan untuk membuat persiapan yang rapi menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang bakal bermula tidak lama lagi.
“Malulah apabila ketika pramusim berlaku insiden seperti itu. Pergaduhan tidak patut berlaku, jadi tindakan tegas harus diambil untuk mengajar pemain-pemain terbabit.
“Provokasi dan permainan agresif dalam bola sepak adalah biasa dan tidak seharusnya dibuat secara berlebihan, tetapi kalau sudah sampai bertumbuk, terajang dan sebagainya ia memang tidak patut dan melampau,” katanya kepada Harian Metro.
Pengendali Kuching City itu juga menambah insiden berkenaan bukan sahaja hanya memalukan malah bakal memberi gambaran buruk buat pemerhati bola sepak terhadap nama negara yang dianggap tidak profesional selain sepatutnya sukan tersebut menjadi wadah perpaduan sesama pemain.
“Memalukan pasukan, nama sendiri dan permainan bola sepak kerana satu dunia akan tengok bukan setakat di Malaysia saja. Malah budak-budak sekarang seawal lima tahun minat menonton bola, jadi inikah contoh yang patut ditunjukkan pemain? Ia adalah gambaran tidak baik.
“Pemain kena ubah cara pemikiran mereka kerana tidak sepatutnya berlaku lagi pergaduhan sebegitu dalam bola sepak sekarang,” kata jurulatih tersebut yang kini usia sudah menjangkau 70 tahun itu.
Tambah Irfan, sekiranya perlawanan tersebut mendapat kelulusan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), maka menjadi tanggungjawab badan induk tersebut untuk mengambil tindakan sepatutnya terhadap mereka yang terlibat.
Dalam aksi tersebut, insiden mula tercetus setelah pemain Terengganu II meraikan kejayaan penjaga gol mereka, Mohd Shafawi Mohamad yang menafikan sepakan penalti pemain import Penang, Endrick Dos Santos sekali gus menaikkan kemarahan dalam kalangan pemain skuad Harimau Kumbang itu.
Setelah itu, kekecohan mula tercetus disusuli dengan aksi kejar mengejar sesama pemain sehingga melibatkan anggota keselamatan dan para pegawai untuk meleraikan pergaduhan tersebut bagi menenangkan keadaan.
Kesan daripada insiden tersebut telah menyebabkan Mohammad Ridzuan Mohd Razali yang mewakili Terengganu II dan Adib Raop yang merupakan pemain Penang mengalami kecederaan yang agak serius.
Menurut Irfan, apa yang dilakukan oleh pengadil untuk menghentikan perlawanan itu adalah tindakan tepat bagi mengelakkan situasi menjadi lebih buruk berlaku pada separuh masa kedua.