Sempena dengan hari perginya lagenda Itali Cesare Maldini pada tarikh ini setahun yang lalu, kami menyambung kisah legasi keluarga Maldini.
Dalam artikel Maldini: Lambang Kesetiaan, Kegemilangan, Dan Legasi Di AC Milan (Bahagian 1) kami menceritakan kisah Cesare Maldini.
Kali ini kami menyambung kisah itu.
Paolo Maldini Il Capitano
“Datuk saya adalah Milan, ayah saya juga seorang Milan, saya adalah Milan, anak saya juga seorang Milan. Lupakan sahaja.” Ujar Cesare Maldini.
Satu masa dahulu Sir Alex Ferguson pernah berniat untuk membawa Paolo Maldini ke Old Trafford.
Tetapi idea pengurus lagenda Man Utd itu secara terang-terangan ditolak oleh ayah kepada Paolo iaitu Cesar Maldini, juga seorang lagenda di A.C Milan.
Paolo Maldini dilahirkan pada 26 Jun 1968 adalah anak sulung dan tunggal lelaki kepada Cesare Maldini dan Maria Luisa.
Seperti ayahnya, Paolo juga adalah seorang pemain pertahanan. Bezanya, Paolo adalah seorang bek kiri manakala ayahnya Cesare adalah seorang pertahanan tengah.
Karier Awal- Pengenalan Maldini Baru Kepada Dunia.
Paolo Maldini adalah produk akademi Rossoneri. Debut Paolo Maldini bersama A.C Milan ialah pada 20 Januari 1985, menentang Udinese dalam Serie A.
Dunia kagum akan kemahiran teknikal dan fizikal beliau pada usia yang muda. Paolo Maldini langsung tidak kekok bermain dengan nama besar lain pada ketika itu seperti Tassoti, Baresi dan Costacurta.
Benar! Inilah gandingan 4 pertahanan digelar paling ampuh di dunia ketika A.C Milan mendominasi bola sepak Itali dan Eropah era Arrigo Sacchi.
Kelebihan Dan Corak Permaianan
Paolo Maldini adalah seorang bek kiri yang memiliki kekuatan kaki kanan semulajadi. Kelebihan ini menyebabkan Paolo juga merupakan seorang bek kiri yang cenderung untuk menyerang.
Keras tetapi bersih, bijak dan agresif- adalah frasa paling tepat mengambarkan corak permainan Paolo.
Sentiasa merendahkan diri ketika berada di puncak kejayaan, tidak malu untuk belajar ketika tewas- ini adalah sifat peribadi beliau yang mencorak kejayaan sepanjang tempoh 24 tahun karier sebagai pemain bola sepak.
Karier Merentasi Zaman
Setelah Franco Baresi bersara pada penghujung musim 1996-97, Paolo diberi penghormatan untuk menjadi kapten A.C Milan yang baru.
Paolo nyata tidak mengecewakan. Sebagai kapten, sifat kepimpinan beliau terus memastikan A.C Milan sebagai sebuah kelab bola sepak yang sentiasa mencabar setiap piala yansg dipertandingkan.
Sepanjang tempoh itu, Paolo terus bermain bersama barisan pengurus hebat seperti Fabio Capello, Arrigo Sacchi, Alberto Zaccheroni, malah ayahnya sendiri Cesare Maldini pernah menjadi pengurus beliau di A.C Milan pada musim 2000-01 dan Piala Dunia 1998 ketika tugasan antarabangsa.
Paolo juga telah bermain dengan ramai pemain hebat era beliau seperti Baresi, Baggio, Nesta, Gullit, Van bansten, Pirlo, Ronaldinho, Del Piero, Shevchenko dan ramai lagi jika anda ingin senaraikan.
Kesempatan beliau bermain dengan pemain di era yang berbeza dari zaman 80an ke tahun 90an sehinggalah bersara pada tahun 2009, adalah satu pencapaian yang luar biasa
Skuad Azzuri
Penampilan pertama Paolo Maldini bersama skuad senior kebangsaan Itali ialah pada 31 Mac 1988 pada usia 19 tahun.
Paolo turut membuat penampilan dalam kesemua empat perlawanan Itali pada Kejohanan Euro 1988 di Munich, Germany sebelum Itali disingkirkan oleh Soviet Union pada peringkat separuh akhir.
Piala Dunia pertama untuk Paolo Maldini ialah pada tahun 1990. Itali turut mara hingga ke separuh akhir, sebelum disekat oleh Argentina yang dikapten oleh Diego Maradona melalui penentuan sepakan penalti.
Itali menduduki tempat ke-3 menewaskan England 2-1 pada Piala Dunia edisi 1990.
Pada pusingan akhir Piala Dunia 1994, Paolo Maldini telah dipilih untuk menjadi penolong kapten skuad Azzuri.
Paolo berjaya mengetuai skuad Azzuri ke perlawanan akhir Piala Dunia USA 1994 walaupun Itali hilang beberapa tongak pertahanan seperti Baresi, Mauro Tassotti dan Alessandro Costacurta akibat pergantungan dan kecederaan .
Bagaimanapun, Itali dikecewakan oleh Brazil yang memiliki gandingan pemain seperti Bebeto, Romario, Leonardo, Cafu dan Dunga juga melalui sepakan penalti.
Pelawanan akhir Piala Dunia 1994 lebih dikenang dengan kegagalan Roberto Baggio gagal menyempurnakan sepakan penalti walaupun beraksi cemerlang sepanjang kempen Piala Dunia tersebut.
Paolo Maldini turut tampil dalam beberapa kejohanan antarabangsa bersama Itali selepas itu, namun gagal memenangi sebarang kejohanan peringkat senior.
Senarai Kejuaraan Bersama A.C Milan
Serie A (7): 1987–88, 1991–92, 1992–93, 1993–94, 1995–96, 1998–99, 2003–04
Coppa Italia (1): 2002–03
European Cup/Champions League (5): 1988–89, 1989–90, 1993–94, 2002–03, 2006–07
UEFA Super Cup (5): 1989, 1990, 1994, 2003, 2007
Intercontinental Cup (2): 1989, 1990
FIFA Club World Cup (1): 2007
Supercoppa Italiana (5): 1988, 1992, 1993, 1994, 2004
Senarai Kejayaan Bersama Itali
FIFA World Cup: 1994 (ke-2), 1990 (ke-3)
UEFA European Football Championship: 2000 (ke-2),
UEFA European Under-21 Championship: 1986 (ke-2),
Fakta Menarik
Jersi No.3 yang diguna pakai sepanjang karier bola sepak Cesare dan Paolo Maldini di A.C Milan dibersarakan pada tahun 2009.
Jersi keramat No.3 hanya akan digunapakai kembali di A.C Milan sekiranya mana-mana anak kepada Paolo menyarung jersi A.C Milan satu hari nanti.
Satu fakta menarik yang ramai tidak ketahui mengenai Paolo Maldini ialah beliau tidak pernah mendapat sebarang layangan kad merah sepanjang 24 tahun karier sebagai pemain bola sepak.
Jaringan gol Maldini ketika final UEFA Champions League 2005 di Istanbul diiktiraf sebagai terpantas dalam sejarah final kejohanan tersebut
Ini cukup untuk menjelaskan karakter lagenda hebat yang bersara pada usia 41 tahun dan pemegang rekod penampilan sebanyak 902 kali bersama Milan.
Legasi Maldini
Cristian dan Daniel Maldini adalah anak kepada Paolo Maldini. Kedua-duanya adalah produk akademi Rossoneri.
Cristian Maldini, kini 20 tahun beraksi bersama Pro Sesto di Serie D, Itali. Cristian pernah menjadi kapten Milan Bawah-19 dalam satu perlawanan peringatan untuk mendiang datuknya, Cesare Maldini.
Daniel Maldini, 15 tahun masih berada di akademi bola sepak A.C Milan.
Hanya masa akan menentukan sama ada mereka berdua layak untuk menyarung jersi No.3, seperti datuk dan ayah mereka satu hari nanti.
Legasi Maldini-lambang kesetiaan dan kegemilangan A.C Milan dan bola sepak Itali.
Baca juga: Paolo Maldini: “Pertahanan Sekarang Semakin Hilang Karakter Bertahan”