Maldini: Lambang Kesetiaan, Kegemilangan, Dan Legasi Di AC Milan (Bahagian 1)

A.C Milan telah melahirkan ramai pemain berbakat besar di dalam 117 sejarah penubuhan kelab berkenaan.

Alessandro Costacurta, Franco Baresi dan terkini Gianluigi Donnarumma adalah nama yang sedang meningkat naik bersama Rossoneri.

Penulisan kali ini akan membawa pembaca mengimbau kembali sejarah satu nama yang meninggalkan legasi hebat di A.C Milan.

Ketika berbicara mengenai kelab yang berpangkalan di San Siro ini, pasti kita tidak boleh lari dari legasi yang dibawa oleh keluarga Maldini.

Siapakah pelopor dominasi Maldini di A.C Milan?

Cesare Maldini

Cesare adalah generasi pertama dari keluarga Maldini yang bermain untuk kelab A.C Milan.

Lahir pada 5hb Februari 1932, Cesare berasal daripada keluarga imigrain berasal daripada Slovenia.

Ayahnya, Albino Maldini adalah seorang pelayar, juga seorang fanatik Rossoneri.

Cesare Maldini (Berdiri, dua dari kiri) bersama kesebelasan utama A.C Milan sebelum perlawanan Serie A 1954-55.

Pertahanan Kental Era 50an & 60an

Cesare Maldini dikenali sebagai seorang pemain yang elegan, pemain pertahanan yang dihormati kawan dan lawan.

Memiliki fizikal, teknik yang pelbagai ketika bertahan dan keupayaan untuk menetapkan rentak permainan pasukannya adalah kelebihannya.

Cesare Maldini juga adalah pertahanan tengah yang kuat di udara, kebolehan yang luar biasa untuk membaca permainan.

Beliau dianggap salah seorang pemain pertahanan paling lengkap dalam generasinya.

Cesare Maldini, pada tahun 1963. Kapten berbangsa Itali pertama menjulang trofi di pentas Eropah bersama Rossoneri menewaskan seteru beliau, Eusébio mewakili Benfica di Wembley.

Karier Sebagai Pemain

Karier Cesare Maldini bermula di Triestina dalam Serie A pada tahun 1952. Selepas dua musim, Cesare dilamar oleh A.C Milan, kelab di mana dia mulai mencipta nama sebagai kapten Rossoneri.

Cesare membuat sejumlah 347 penampilan dan menyumbang 3 gol dari tahun 1954 sehingga 1966 ketika bersama A.C Milan.

Di peringkat antarabangsa, pertahanan tengah kental ini hanya membuat 14 penampilan bersama Itali.

Cesare adalah kapten Azzuri pada Piala Dunia 1962, namun pasukannya tersingkir di pusingan awal.

Kejurulatihan Dan Pengurusan Peringkat Kelab

Setelah bersara daripada bola sepak di Torino, Cesare menceburi bidang kejurulatihan dan pengurusan.

Dilantik sebagai Penolong Pengurus pada 1970 sebelum dilantik sepenuhnya sebagai pengurus A.C Milan pada 1972.

Cesare turut pernah dilantik sebagai pengurus pasukan Parma, Itali U-21, Itali dan Paraguay sepanjang karier di dalam pengurusan bola sepak.

Pencapaian beliau mengemudi barisan A.C Milan menjulang European Cup Winners’ Cup dan Coppa Italia pada musim 1972-73 adalah pencapian termanis buat beliau di peringkat kelab sebagai seorang pengurus.

Cesare Maldini (Duduk tengah, tiga dari kiri) sebagai pengurus pasukan ketika A.C Milan menang kejuaraan berganda pada musim 1972-73.

Pada Mac 2001, Cesare Maldini dipanggil untuk mengambil alih skuad A.C Milan daripada pengurus sebelum itu Alberto Zaccheroni.

Walaupun hanya mengakhiri Serie A pada musim itu pada tangga ke-6, Cesare Maldini berjaya melayakkan A.C Milan ke pertandingan Liga Eropah untuk musim berikutnya.

Musim itu dikenang dengan kemenangan besar 6-0 A.C Milan ke atas lawan setempat, Inter Milan. Jaringan 6-0 itu kekal sebagai kemenangan dan kekalahan terbesar dalam sejarah derby Milan di San Siro.

Cesare Maldini menyerahkan jawatan pengurus A.C Milan kepada Fatih terim pada musim berikutnya.

Kejurulatihan Dan Pengurusan Peringkat Antarabangsa

Di antara tahun 1980 sehingga 1986, Cesare Maldini adalah pembantu kepada Enzo Bearzot di dalam skuad kebangsaan Azzuri.

Cesare adalah sebahagian daripada staff kejurulatihan Itali ketika memenangi Piala Dunia 1982 di Sepanyol.

Pada 1986, Cesare Maldini mengambil alih pasukan Itali U-21.

Di bawah kendalian beliau, Itali muncul juara UEFA European Under-21 Football Championship buat pertama kali pada  1992, diikuti dengan dua edisi berikutnya iaitu pada 1994 dan 1996.

Juara Eropah 1996 Bawah 21 Tahun. Itali.

Kecemerlangan Cesare Maldini bersama pasukan Bawah 21 tahun Itali membuatkan Cesare dipilih untuk mengemudi pasukan kebangsaan Itali pada Piala Dunia 1998.

Itali mara sehingga ke suku akhir, namun disingkirkan oleh tuan rumah Perancis melalui penentuan sepakan penalti.

Perancis muncul juara Piala Dunia 1998 di laman sendiri dan Cesare Maldini meletakkan jawatan ekoran kritikan daripada media akan corak permainan bertahan yang diterapkan beliau.

Pada edisi Piala Dunia 2002 yang dianjurkan secara bersama oleh Korea Selatan dan Jepun, Cesare Maldini mengemudi cabaran Paraguay sehingga ke pusingan ke-2.

Paraguay tewas 0-1 kepada Jerman yang muncul sebagai naib juara dalam edisi Piala Dunia yang dianjurkan julung kali di benua Asia.

Legasi

Lagenda A.C Milan dan Itali, Cesare Maldini meninggal dunia dua tahun yang lalu pada hari ini, 3hb April 2016 pada usia 84 tahun.

Sebagai penghormatan, satu minit bertafakur diadakan di setiap pelawanan Serie A pada hujung minggu itu.

Pasukan A.C Milan turut menggunakan lilitan hitam dalam perlawanan menentang Atalanta.

Majlis perkebumian Cesare Maldini diadakan di Gereja Basilica of Sant’ Ambrogio, Milan. Isteri Cesare Maldini,

Maria Luisa turut meninggal dunia beberapa bulan selepas pemergian Cesare Maldini.

Cesare Maldini turut meninggalkan legasi yang hebat untuk A.C Milan dan Itali.

Anaknya, Paolo Maldini turut bermain untuk A.C Milan daripada debut beliau pada 1984 sehinggalah bersara pada tahun 2009.

Kesetiaan, Kegemilangan dan Kemasyuran keluarga Maldini di A.C Milan, diteruskan oleh anaknya, Paolo Cesare Maldini.

Pencapaian Peringkat Kelab: A.C Milan

Serie A: 1954–55, 1956–57, 1958–59, 1961–62

European Cup: 1962–63

Latin Cup: 1956

Pencapaian Individu

FIFA World Cup All-Star Team: 1962

World Soccer World XI: 1963

Panchina d’Oro Career Award: 1996

A.C. Milan Hall of Fame

Italian Football Hall of Fame: 2016

Teruskan ikuti semuanyaBOLA untuk bahagian ke-2.

Baca juga: Gabriel Batistuta, Kisah Perjalanan Lagenda Dari Argentina

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN