Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Previu Piala AFF: 90 Minit Kedua Di ‘The Fortress My Dinh’ Janjikan Saingan Menarik

“Menang jadi arang, kalah jadi abu.”

Kelebihan kini di tangan Vietnam. Mereka berjaya membawa pulang dua gol berharga daripada sangkar Harimau Malaya, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada perlawanan akhir pertama. Sedikit melegakan, Malaysia juga menjaringkan dua gol.

Beraksi di Stadium My Dinh, Malaysia perlu menang jika mahu menjulang kejuaraan Piala AFF Suzuki 2018. Tidak boleh seri, apalagi tumbang di bumi Hanoi. Untuk rekod, kali terakhir Vietnam kalah di My Dinh adalah 3 tahun lalu – iaitu tewas kepada Thailand.

Terikat 2-2 dalam pertempuran pertama di Bukit Jalil, 90 minit seterusnya ini bakal menguji kekuatan sebenar kedua-dua pasukan dalam melakukan henjutan terakhir menuju ke garisan penamat. Namun, kubu di My Dinh bukanlah biasa-biasa.

Kebal di My Dinh

Berkapasiti 40,000 penonton, Stadium My Dinh di Hanoi telah mula beroperasi sejak September 2003. My Dinh adalah antara stadium yang digunakan oleh skuad kebangsaan Vietnam selain daripada Stadium Hang Day dan juga Stadium Thong Nhat.

Foto: Fox Sport

Satu perkara yang menarik adalah stadium ini adalah kubu ampuh skuad Naga Emas sejak 2015 dengan 6 kemenangan direkodkan daripada 10 perlawanan yang dilangsungkan di sana. Kali terakhir Vietnam tewas di My Dinh adalah pada 2015 kepada Thailand.

Dalam kejohanan Piala AFF 2018, stadium ini telah digunakan sebanyak dua kali dengan anak didik Park Hang-seo menang kedua-duanya iaitu ke atas Malaysia 2-0 dan kemudian Filipina 2-1 dalam aksi separuh akhir kedua pada 6 Disember lalu.

Selain itu, Malaysia hanya pernah menang sekali sahaja dalam 5 pertempuran sejak 2003 di My Dinh iaitu pada Kejohanan AFF 2014 dengan keputusan 4-2 dalam aksi separuh akhir. 3 lagi perlawanan berkesudahan dengan kemenangan kepada Vietnam.

Provokasi dan psikologi lawan

Park Hang-seo dan Vietnam dilihat lebih bijak dalam mengawal tekanan dengan tidak terburu-buru membuat provokasi seperti Myanmar dan Thailand yang akhirnya memakan diri. Mereka lebih gemar merendah diri dan memuji kemampuan Harimau Malaya.

Itu adalah permainan psikologi yang hampir memberikan mereka kemenangan mudah di Bukit Jalil. Mungkin terbuai dek pujian, beberapa pemain skuad kebangsaan beraksi di bawah tahap sebenar, tidak seperti ketika pertemuan dengan Gajah Perang.

Foto: AFF

Selain itu, keharmonian antara penyokong sebelum ini juga dilihat kian berkurangan selepas terdapat laporan yang sekumpulan penyokong Vietnam telah dipukul di Kuala Lumpur.

Menurut Goal, sebuah portal ternama di Vietnam, Zing.vn telah melaporkan terdapat lebih kurang 80 penyokong Vietnam telah dibelasah oleh kumpulan penyokong yang dinamakan sebagai Ultras Malaya ketika saingan pertama di Kuala Lumpur.

Walaubagaimanapun, ianya kemudian telah ditarik balik oleh portal tersebut kerana tiada sebarang bukti yang menyokong kenyataan tersebut. Namun, nasi sudah menjadi bubur. Berita itu telah tersebar dan sedang menanti untuk meletus.

Harimau Malaya miliki kekuatan mental

Selain permainan yang lancar dan sentiasa menguasai perlawanan, skuad kendalian Tan Cheng Hoe juga tampil dengan mentaliti yang sangat ampuh. Mereka tampak tidak mudah untuk ditumbangkan.

Mengambil alih teraju sejak penghujung tahun lalu, Cheng Hoe kini sedang menuai sedikit sebanyak hasil daripada apa yang telah cuba diterapkannya. Malaysia tidak lagi bermain clueless longball dan mudah hilang bola. Malaysia baharu kini tampil postif.

Hampir semua perlawanan di Piala AFF menyaksikan penguasaan perlawanan oleh Malaysia kecuali ketika saingan separuh akhir kedua di Bangkok. Dan Malaysia juga memiliki jumlah hantaran antara pemain yang tertinggi dalam kejohanan kali ini.

Dalam aksi separuh akhir kedua menentang Gajah Perang di Bangkok, Harimau Malaya bangkit dua kali selepas ketinggalan. Ini diulangi ketika perlawanan akhir pertama apabila bangkit mengejar selepas mereka ketinggalan dua jaringan oleh Vietnam.

BANGKOK-THAILAND- Match photo during AFF Suzuki Cup 2018 Semi Final Rounds between Thailand vs Malaysia at the Rajamangala Stadium on December 5, 2018. Picture by Thananuwat Srirasant/Lagardere Sport.

Kembalinya ‘The Fantastic 4’

Dalam pentas akhir pertama tempohari, Malaysia turun tanpa barisan pertahanan yang terbaik apabila Syahmi Safari, Aidil Zafuan dan Syazwan Andik terpaksa memanaskan bangku simpanan.

Ini menyaksikan Irfan Zakaria, Nazirul Naim dan Amirul Azhan mengambil alih posisi pertahanan untuk bergandingan bersama Shahrul Saad. Namun, segalanya tampak rapuh buat Malaysia.

Dilaporkan kembali cergas, pemain yang memiliki kaps terbanyak, Aidil Zafuan dan Syazwan Andik akan kembali bersama Syahmi Safari- yang kembali daripada penggantungan satu perlawanan untuk menguatkan benteng Harimau Malaya.

Kali terakhir 4 pemain ini berganding bahu adalah ketika mengikat Thailand tanpa jaringan di Bukit Jalil dalam separuh akhir pertama.

Manfaat setiap situasi set-pieces

Naga Emas tampil cemerlang dengan hanya melepaskan 4 gol dalam 7 perlawanan di saingan Piala AFF ketika ini dan kesemua empat gol tersebut berpunca daripada situasi set-pieces.

Kem Malaysia juga sedar akan kelemahan tersebut dan menurut Aidil yang dipetik berkata kepada Berita Harian,“Kita dapat lihat di Bukit Jalil, mereka agak goyah dengan situasi bola mati seperti sepakan sudut atau sepakan percuma dari sebelah tepi.”

Tempohari, Safawi Rasid dan Shahrul Saad telah memanfaatkan peluang tersebut dan membantu Malaysia bangkit dengan dua gol.

Aidil dan Shahrul Saad telah diketahui umum memiliki naluri tandukan yang baik serta pemain yang tinggi lampai seperti Syamer Kutty Abba dan Mohamadou Sumareh perlu menggunakan kelebihan itu untuk mengatasi benteng Naga Emas.

Oleh itu, skuad negara perlu mengambil setiap peluang terhidang menerusi situasi bola mati untuk memburu dan meledak gol seterusnya memenangi perlawanan – disamping memperbaiki aspek bertahan yang juga dilihat goyah tempohari.

Apa kata jurulatih

Tan Cheng Hoe: “Kita tahu yang intensiti perlawanan akan tinggi dan saya telah beritahu para pemain saya untuk kekal fokus dan berjaga-jaga dengan serangan balas daripada Vietnam.”

“Nikmati perlawanan akhir di Hanoi ini dan para pemain saya juga perlu elakkan memberi tekanan kepada diri sendiri.”

Park Hang-seo: “Para pemain tahu betapa pentingnya aksi pada Sabtu ini dan kita tidak mahu kecewakan para penyokong.”

“Walaupun Stadium My Dinh kecil, namun saya yakin kita mampu untuk cipta suasana yang lebih meriah untuk pasukan kita.”

Sebelum sepak mula

Malaysia sudah tahu kelemahan Vietnam dalam situasi bola mati dan Malaysia juga pernah beraksi di laman lawan itu ketika aksi kumpulan – walaupun tewas 0-2 ketika itu.

Apa yang perlu diberikan fokus oleh Cheng Hoe dan para pemain ketika ini adalah kukuhkan benteng disamping mencari gol awal untuk menolak moral pasukan ke tahap yang lebih tinggi.

Selain itu, diharapkan Harimau Malaya akan tampil lebih agresif dalam menyerap asakan pantas Naga Emas. Kedua-dua pasukan dalam misi yang sama – mahu menjulang Piala AFF buat kali kedua.

Selepas Safawi Rasid akhirnya meledak gol pertamanya di kejohanan kali ini, kini giliran Sumareh pula untuk tampil lebih berkeyakinan mencari semula sentuhan jaringannya.

4 edisi telah menyaksikan trofi AFF dijulang oleh pasukan pelawat iaitu pada edisi 2007 (Singapura), 2010 (Malaysia), 2012 (Singapura) dan 2014 (Thailand). Adakah Malaysia berpeluang untuk menang seterusnya menjulang trofi di bumi Hanoi?