Skuad bola sepak Malaysia akhirnya terpaksa menelan keputusan pahit pada aksi persahabatan Tier 1 kali ini, apabila mereka mencatat kekalahan 0-4 di tangan New Zealand bersama aksi cukup mengecewakan.
Awal perlawanan menyaksikan Malaysia memulakan aksi bersama corak permainan cukup menyakinkan apabila mereka tidak terburu-buru untuk mengawal permainan, dengan para pemain saling berbalas hantaran.
Lima minit perlawanan berlangsung, New Zealand lebh mendominasi perlawanandengan dua kali mereka berjaya mengatasi pertahanan negara untuk mencipta peluang gol.
Pasukan tuan rumah jelas melancarkan siri serangan secara bertali arus dari pelbagai arah, terutama di sebelah kanan Malaysia, bersama intensiti permainan cukup tinggi.
Pada minit ke-10, Arif Aiman memperoleh satu peluang untuk mengatasi pertahanan lawan dengan satu hantaran lintang berjaya dibuat, sebelum ia diselamatkan oleh Alex Paulsen untuk meredakan keadaan.
Akhyar Rashid terpaksa dibawa masuk denan lebih awal pada minit ke-14, setelah Daren Lok mengalami kecederaan sehingga memaksa penyerang Sabah itu diketepikan.
Kesilapan-kesilapan mudah pasukan kebangsaan jelas begitu ketara sehinga membuka banyak peluang buat tuan rumah untuk hadir bersama ancaman lebih berbahaya.
Bersambung di separuh masa kedua, skuad kendalian Pau Marti tampil meningkatkan lagi intensiti permainan dalam usaha untuk cuba menguji pertahanan pasukan tuan rumah.
Arif Aiman, Akhyar Rashid, dan Morales antara tampil lebih baik jika dibandingkan pada separuh masa pertama tadi untuk menghidupkan lagi serangan Harimau Malaya.
Morales berjaya mencipta satu percubaan tepat akhirnya untuk menguji penjaga gol New Zealand yang tampil tidak begitu teruji pada separuh masa pertama.
Namun kejutan tak dijangka buat kem kebangsaan, apabila New Zealand berhasil mendapatkan gol pertama mereka pada minit ke-52 menerusi Elijah Just yang mudah mengatasi pertahanan kebangsaan.
New Zealand berjaya meraih gol kedua lapan minit kemudian untuk menunjukkan betapa rapuhnya pertahanan negara dengan kali ini ia diledak oleh Matthew Garbett, sekali gus meletakkan tuan rumah semakin selesa di hadapan.
Memasuki minit ke-70, tuan rumah memastikan gol ketiga menjadi milik mereka, dengan kali ini ia disempurnakan oleh bintang English Premier League (EPL), Chris Wood.
New Zealand menutup hari gemilang menerusi gol keempat mereka sebelum penghujung perlawanan hasil satu percubaan jarak jauh dilepaskan oleh Rogerson.
Keputusan perlawanan kekal dengan skuad Harimau Malaya terpaksa menelan kekalahan 0-4 kepada New Zealand dan sudah tentu pelbagai kelemahan semasa perlu diperbaiki Pau Marti selepas ini.
Kesebelasan Utama
New Zealand: Alex Paulsen (Penjaga Gol), Tyler Bindon, Michael Boxall, Matthew Garbett, Marko Staminic, Elijah Just, Liberato Cacace, Alex Rufer, Ben Waine, Ben Old, Storm Roux
Malaysia: Ahmad Syihan Hazmi bin Mohamed (Penjaga Gol), Matthew Thomas Davies, Dominic Tan Jun Jin, Darren Yee Deng Lok, Endrick dos Santos Parafita, Arif Aiman bin Mohd Hanapi, Mohamed Syamer Kutty bin Abba, Nooa Hamzah Laine, Corbin Ong La’vere Lawrence, Harith Haiqal bin Adam Afkar, Romel Oswaldo Morales Ramirez