Tidak banyak yang diketahui mengenai lawan Malaysia pada hari ini. Di kedudukan ranking FIFA, Republik Kyrgyzstan berada di tangga ke-92 dunia.
Itu sudah cukup untuk menjelaskan bahawa lawan tidak harus dipandang mudah, walaupun skuad Datuk Ong Kim Swee wajib menang perlawanan ini.
Kyrgyzstan turun dengan formasi 4-4-2. Manakala pasukan negara mempertaruhkan formasi 3-5-2 yang sudah sinonim dengan pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee.
10 minit pertama perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan cuba mengawal bahagian tengah. Agak menarik untuk melihat corak permainan pasukan lawan.
Ketika memiliki penguasaan bola, pasukan ini berada di dalam bentuk 4-4-2/4-4-1-1, dan berubah menjadi 4-2-4 yang kompak ketika lawan memiliki penguasaan bola.
Tampak berbahaya ketika bergerak ke hadapan, Kyrgystan melakukan percubaan pertama seawal minit ke-7 namun tersasar.
Pasukan negara, melalui Akhyar Rashid turut sempat menguji penjaga gol lawan, namun percubaan beliau pada minit ke-13, berjaya ditampan keluar Akimaliev Kalysbek.
Akhyar Rashid jelas menjadi duri dalam daging kepada pasukan lawan apabila pengadil melayangkan kad kuning pada minit ke-30 perlawanan kerana kekasaran terhadap penyerang negara itu.
Lima minit kemudian, Akhyar sekali lagi menjadi terjahan lawan di dalam kotak penalti, dan kali ini pengadil memberikan sepakan penalti.
Safawi Rasid mengambil peranan sepakan tersebut, tidak teragak-agak memastikan pasukan negara mendahului 1-0.
Safawi Rashid akan mengambil sepakan penalti ini…. dan GOAAAAL MALAYSIAAAA!! 1-0 mendahului Kyrgyzstan ketika ini! #AsianGames2018 #KamiTeamMalaysia #TeamMsiaAsianGames2018 pic.twitter.com/HL59A8URJy
— Team Malaysia (@TeamMsia) August 15, 2018
Kyrgyzstan selepas itu tidak berdiam diri, apabila beberapa kali melakukan percubaan jarak jauh termasuk salah satu yang memaksa Haziq Nazli untuk melayangkan badan untuk menyelamatkan keadaan.
Kedudukan separuh masa pertama bagaimanapun berakhir dengan pasukan negara mendahului 1-0.
Bersambung babak kedua, Kyrgyzstan jelas dengan misi untuk memburu gol penyamaan.
10 minit babak kedua bermula, Kyrgyzstan menemui gol penyamaan melalui tandukan Ernist Batyrkanov. Pasukan negara hanya boleh menyalahkan diri sendiri untuk gol tersebut selepas kawalan yang lemah di bahagian pertahanan.
Tetapi pasukan negara pantas menghadirkan respon. Dalam satu serangan balas pantas dari sebelah kanan, Akhyar Rashid mencetak nama selaku penjaring apabila menyambar hantaran rendah Rizal Ghazali untuk memastikan Malaysia kembali mendahului 2-1.
Sejurus selepas itu, Malaysia melakukan pertukaran dengan mengeluarkan pemain tengah, Nik Akif dan digantikan dengan Syahmi Safari.
Malaysia kemudian terus selesa di hadapan apabila Syafiq Ahmad meletakkan Malaysia mendahuli 3-1 apabila menanduk masuk hantaran Safawi Rasid pada minit ke-78.
Akhyar Rasid. Hampir jaringkan gol ke-4 Malaysia. pic.twitter.com/JzUzFMEvKe
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) August 15, 2018
Akhyar melepaskan peluang terbaik melebarkan kedudukan apabila terlebih dahulu merjaya menggelecek penjaga gol lawan, namun percubaan beliau sipi di sisi jaring gol.
Kedudukan kekal sehingga wisel penamat, dan Malaysia mengesahkan tiga mata berharga.