Sebuah laman berita dari Nepal, Goalnepal.com menyatakan yang pihak Persatuan Bola Sepak Nepal, ANFA sudah mengesahkan yang perlawanan persahabatan menentang Malaysia pada 1 April 2018 ini dibatalkan.
Hal ini kerana, ANFA berhadapan dengan masalah kekurangan pemain untuk bermain perlawanan tersebut. Difahamkan beberapa kelab utama di Nepal tidak mahu melepaskan pemain mereka untuk tugasan tersebut.
Perlawanan persabahatan tersebut di luar kalendar minggu antarabangsa FIFA pada kali ini. Jadi, beberapa kelab menolak untuk melepaskan pemain mereka bagi memberikan fokus kepada perlawanan penting dalam saingan domestik.
Terdapat 2 persaingan domestik utama yang menjadi tumpuan. Pertamanya adalah Piala Emas Madan Bhadari dan yang kedua adalah Piala Emas Birat yang akan berlangsung di Butwal dan Biratnagar.
Goalnepal.com juga memberitahu yang jurucakap ANFA, Sanjib Misra sendiri sudah mengesahkan akan hal itu dan mereka sudah pun menghantar surat penjelasan ke Kuala Lumpur.
Oleh itu, pemain-pemain Nepal akan terus pulang ke tanah air mereka sebaik sahaja tamat tugasan antarabangsa menentang Yaman pada 27 Mac ini.
Sebelum ini pihak FAM sudah menghebahkan akan ada satu perlawanan antarabangsa ‘A’ tambahan selepas perlawanan menentang Mongolia (persabahatan A) dan juga Lubnan (Kelayakan Piala Asia 2019) pada 27 Mac ini.
FAM juga sudah mendapat sokongan daripada FMLLP untuk mengubah jadual bola sepak domestik bagi memberikan laluan kepada pemain-pemain yang beraksi di dalam perlawanan menentang pasukan di ranking ke-165, Nepal pada 1 April 2018.
FAM bertindak darstik untuk mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa tambahan. Antara sebabnya adalah untuk memperbaiki ranking skuad Malaysia yang kini berada di tangga ke-178. Pada masa yang sama ia juga boleh digunakan Tan Cheng Hoe untuk menyediakan pasukan Piala AFF Suzuki.
Buat masa ini, pihak FAM masih belum ada sebarang hebahan untuk perkara ini. Mungkinkah FAM akan mengusahakan perlawanan persabahatan menentang pasukan lain pada tarikh itu kelak? Sama-sama kita nantikan apa sahaja perkembangan terkini berkaitan hal ini.