Meskipun cemerlang dalam aksi menentang China, namun harga sebuah seri itu terlalu besar untuk ditanggung oleh pasukan Malaysia.
Malaysia 2 kali mendahului dalam perlawanan menentang China. Dan paling terkesan adalah ketika gol Jiang Shenglong pada minit ke-84 membuatkan skuad Malaysia berputih mata.
Guus Hiddink pastinya paling lega kerana berjaya mengelakkan kekalahan di tangan pasukan Harimau Malaya yang tampil dengan rentak permainan penuh berani.
China jelas tertekan dan bergantung kepada permainan fizikal untuk mengatasi pasukan Malaysia.
6 minit adalah masa yang memisahkan Malaysia dengan kelayakan automatik untuk turun beraksi di Thailand pada 2020 nanti.
Malaysia gagal menempatkan diri dalam kelompok 4 pasukan naib juara terbaik. Slot itu dimenangi oleh Australia, Iran, Syria dan Arab Saudi.
Malaysia menamatkan kelayakan dengan baik. Tidak kalah dalam kesemua perlawanan dan terikat 7 mata dengan China. Perbezaan jaringan dimiliki China terlalu unggul untuk disaingi oleh Malaysia.
Kegagalan Malaysia untuk Mara ke kejohanan Piala AFC B-23 ini membuatkan harapan Malaysia untuk mara ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo – musnah.