Gol Syafiq Ahmad Bantu Harimau Malaya Tundukkan Bula Boys

Harimau Malaya meneruskan rentak kemenangan apabila berjaya menewaskan Fiji 1-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium KLFA, Cheras, sebentar tadi.

Satu perlawanan yang seakan-akan satu sesi latihan antara kedua-dua pasukan dengan kekurangan percubaan ke gawang gol. Tempo perlahan memburukkan lagi kualiti perlawanan.

Tanpa beberapa tonggak misalnya Zaquan Adha, Malaysia turun dengan majoriti pemain berusia bawah 23 tahun dengan purata umur keseluruhan skuad adalah 24 tahun.

Tan Cheng Hoe menerapkan formasi 3-5-2 dengan Shahrul Saad, Adam Nor Azlin dan Irfan Zakaria diarah untuk membentuk rangkaian 3 pemain di benteng pertahanan tengah.

Perlawanan ini juga menyaksikan dua pemain telah mendapat kaps antarabangsa pertama iaitu Shafiq Shaharudin dan Kenny Pallraj yang masuk sebagai pemain gantian di babak kedua.

Syafiq

Separuh masa pertama

Gol penyerang, Syafiq Ahmad pada minit ke-20 membolehkan Harimau Malaya mendahului aksi babak pertama. Ia juga merupakan gol ke-3 peribadinya buat Malaysia.

Tuan rumah menunjukkan kecenderungan untuk mengasak awal Fiji dengan beberapa siri serangan ke kubu lawan. Namun semuanya disia-siakan oleh penyudah tumpul.

5 minit pertama juga menyaksikan bola lebih banyak berlegar di kawasan gol Fiji. Pasukan pelawat seakan-akan dipukau dengan banyak berkampung di kawasan sendiri.

Sepakan percuma Safawi Rasid pada minit ke-4 tersasar dari gol yang dikawal oleh penjaga gol muda berusia 22 tahun, Misiwani Nairube. Ini adalah kaps pertama Nairube.

Syafiq
FOTO: Facebook FAM

Minit ke-9, Fiji hampir mengejutkan Malaysia apabila penyerang, Christopher Wasasala yang lolos dari kawalan benteng berjaya melakukan percubaan namun terkena tiang.

Walaupun hanya berdepan dengan penjaga gol, Khairul Fahmi, percubaan Wasasala tidak menemui sasaran. Itu merupakan percubaan pertama Fiji ke gawang Malaysia.

Syafiq akhirnya berjaya meledak gol pertama skuad kebangsaan apabila dengan mudah menyudahkan hantaran pemain sayap, Syazwan Zainon untuk menggegar gawang lawan.

Ia bermula dari hantaran Nazmi Faiz kepada Syazwan Zainon yang membuat larian deras di sisi kanan gawang Fiji selepas membuat hantaran pertama kepada Nazmi Faiz.

Syafiq
FOTO: Facebook FAM

Walaubagaimanapun, gol tersebut juga telah menjadi punca kepada kecederaan untuk Syafiq yang akhirnya digantikan oleh Shafiq Shaharudin pada minit ke-26.

Selepas 30 minit baru tampak Bula Boys dapat bertenang dan mengawal bola dengan lebih baik. Mujur rata-rata pemain mereka masih baharu di pentas antarabangsa.

Tempo perlawanan sederhana dengan kedua-dua pasukan dilihat kurang agresif atur serangan. Jumlah percubaan ke gol untuk kedua-dua pasukan hanya 5, iaitu 3 Malaysia dan 2 untuk Fiji.

Separuh masa kedua

Hanya selepas 10 minit babak kedua berlangsung, baru ada asakan ke kubu lawan menerusi percubaan dari tuan rumah. Kedua-dua pasukan bermain dengan agak perlahan.

Antaranya percubaan lemah pemain sayap, Safawi yang mudah diselamatkan oleh Nairube. Safawi juga dilihat jarang-jarang memberi ancaman buat barisan benteng pelawat.

Syafiq
FOTO: Facebook FAM

Gol pemain gantian, Wan Zack Haikal dibatalkan oleh pengadil pada minit ke-58 apabila dia didapati berada pada kedudukan offside ketika menerima hantaran Nazmi Faiz.

Minit ke-66, rembatan Syazwan Zainon selepas menerima kuisan Wan Zack Haikal tersasar. Kemasukkan Wan Zack Haikal dilihat berjaya menyuntik kelainan di jentera hadapan.

Pasukan pelawat jarang sekali melakukan asakan ke kubu skuad kendalian Cheng Hoe. Penjaga gol gantian, Hafizul Hakim juga dilihat sangat ‘bersahaja’ menanti di gawang.

Sementara Harimau Malaya pula seakan-akan sudah berpuas hati dengan satu gol yang didapati di babak pertama. Tiada ancaman yang mampu dihadirkan oleh barisan jentera serangan.

Pengadil dari Thailand, Mongkolchai Pechsri akhirnya meniupkan wisel untuk menamatkan perlawanan yang dilihat semakin hambar. Malaysia menang 1-0 ke atas Fiji.

Kemenangan kedua buat skuad negara ke atas lawan selepas kali pertama menewaskan Bula Boys pada 9 Februari 2001 oleh skuad kendalian mendiang Allan Harris.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN