Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah memutuskan bahawa perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 di antara Korea Utara dan Malaysia akan berlangsung di gelanggang yang neutral pada bulan November depan.
Jadual asal yang ditetapkan berlangsung di Pyongyang sebelum ini telah ditunda kerana berlaku ketegangan politik diantara Malaysia dan Korea Utara dan juga pengharaman oleh Kerajaan Malaysia pada rakyatnya yang ingin berkunjung ke Korea Utara.
Dari segi kepentingan keadilan pertandingan, telah ditentukan bahawa kedua-dua perlawanan di antara kedua-dua negara akan dimainkan di gelanggang neutral yang sama, dengan Korea Utara sebagai ‘tuan rumah’ pada 10hb November dan perlawanan timbal balik Malaysia akan jadi ‘tuan rumah’ pada 13hb November.
Susunan perlawanan ini telah dikekalkan sebagaimana aturan yang diumumkan sebelum ini untuk melindungi integriti kesukanan pertandingan.
Setiausaha Agung AFC Dato’ John Windsor berkata, “Kami sangat gembira kerana selepas banyak perbincangan, kedua-dua pihak telah bersetuju dengan penetapan ini.
“Bermain dengan cara ini, dan dalam perintah ini, membantu kita melindungi prinsip kesukanan di pusingan akhir kelayakan Piala Asia,” katanya.
Perubahan jadual ini tidak akan menjejaskan jadual liga domestik di kedua-dua negara. Malaysia akan menghadapi perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Korea Utara selepas tamat saingan Liga Malaysia musim 2017.
Skuad Harimau Malaya kini menduduki ranking ke 170 dunia selepas skuad bimbingan Nelo Vingada itu gagal mencatat sebarang kemenangan di pentas antarabangsa. Kedudukan ranking yang paling teruk setakat ini ialah 174 dunia pada bulan April 2016.
Kali terakhir Malaysia beraksi dalam saingan Piala Asia ialah pada tahun 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama Indonesia, Thailand dan Vietnam. Mereka tewas dalam semua perlawanan dan menamatkan saingan di kedudukan terbawah dalam kumpulan.