Malaysia sudah sah mara ke Piala Asia 2023 selepas Palestin berjaya mengatasi Filipina 4-0 pada petang tadi dan ia diserikan lagi dengan kemenangan selesa 4-1 Malaysia ke atas Bangladesh, pada lewat malam tadi.
Ia sekaligus menamatkan penantian selama 42 tahun skuad kebangsaan untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 1980. Kali terakhir Malaysia beraksi di kejohanan tertinggi di Asia itu pula adalah pada tahun 2007 – layak sebagai tuan rumah bersama Indonesia, Vietnam dan Thailand.
Ia adalah kempen yang mahu dilupakan oleh semua penyokong Harimau Malaya saat itu. Malaysia dibelasah tanpa ehsan dalam tiga perlawanan – tewas 1-5 kepada China, 0-5 kepada Uzbekistan dan 0-2 kepada Iran.
Dan ketika itu, tiga rakan baik memulakan gerakan Ultras Malaya, bermula di forum HarimauMalaya.Com.
Selepas itu, Malaysia berterusan gagal mara ke Piala Asia secara merit dan kira-kira enam tahun lalu, desakan dimulakan oleh Ultras Malaya yang juga semakin membesar pengaruhnya selepas 10 tahun berlalu sejak penubuhannya. Satu kain rentang dinaikkan mereka yang berbunyi, ‘Apa yang kami [Ultras Malaya] mahukan?’
“1. Layak ke Piala Asia [merit]. 2. Layak ke Piala Dunia [merit]. 3. Pasukan Liga M layak beraksi di ACL [AFC Champions League] tanpa melalui pusingan kelayakan.”
Ultras Malaya, 2016
Dua daripadanya telah direalisasikan. Pasukan Liga M tidak perlu bermain di pusingan kelayakan ke ACL sejak empat tahun lalu menerusi Johor Darul Ta’zim (JDT) dan edisi kali ini berjaya mara ke pusingan 16 terbaik.
Malaysia juga sudah mengesahkan tiket dan layak beraksi di Piala Asia 2023 secara merit pada malam tadi.
Hanya tinggal satu lagi desakan yang masih belum tertunai iaitu melayakkan diri ke Piala Dunia secara merit.
Menurut perkongsian ketua unit tifo Ultras Malaya, Sharp De Cantios, inilah malam untuk mereka raikannya.
“Tahniah kepada semua yang terus setia bersama Harimau Malaya dikala saat jatuh dan bangun. Anda semua layak meraikannya sepenuh jiwa jika kita berjaya ke Peringkat Akhir Piala Asia 2023. Pasti airmata kegembiraan berjuraian di akhir wisel penamat. Menangislah sepuasnya untuk pengakhiran penantian ini. Menangislah.”
“Penantian 42 tahun bakal berakhir selepas desakan selama 6 tahun lepas. 6 tahun desakan yang bermacam cara, dari selembut cara sehingga sekeras-keras cara. Kejayaan yang indah dan bermakna ini patut diraikan di depan mata.”
Facebook Sharp De Cantios
Tahniah buat skuad kebangsaan dan semua yang terlibat. Ini adalah skuad yang membuat ajaib layak ke pentas tertinggi saingan bola sepak di Asia. Bermula dengan kempen mengecewakan di kelayakan Piala Dunia dan Piala AFF Suzuki yang lalu, Kim Pan-gon hadir membawa pembaharuan – mencipta sesuatu untuk semua.
Tinggal satu lagi desakan iaitu mara ke Piala Dunia secara merit dan diharapkan ia menjadi realiti satu masa nanti. Ultras Malaya bukan sahaja meraikan kemaraan ke Piala Asia, tetapi juga perjuangan 15 tahun mereka.