Apakah Makna Emoji Lebah Pekerja Dalam Derbi Manchester Di Kejohanan ICC?

Pagi tadi Manchester United menewaskan seteru setempat, Manchester City dengan jaringan 2-0 hasil jaringan Romelu Lukaku dan juga Marcus Rashford dalam kejohanan jemputan International Champions Cup (ICC).

Selain daripada Manchester United dan Manchester City, ICC turut menampilkan pasukan-pasukan gergasi lain dari benua eropah seperti Real Madrid, Barcelona dan juga Paris Saint-Germain.

Pertembungan dua kelab daripada bandar Manchester itu sememangnya akan menggamit tumpuan.

Ia adalah pentas terbaik untuk menguji pemain yang baharu menyertai pasukan masing-masing pada jendela perpindahan musim panas ini.

Perlawanan ini turut digunakan oleh kedua-dua pengurus kelab mencari kepincangan untuk diperbaiki sebelum sepak mula kempen baharu.

Di sebalik kehangatan perlawanan tersebut, ada perkara lain yang menarik perhatian kita. Lebah di jersi kedua-dua buah pasukan?

Akaun media sosial kedua-dua buah kelab turut tampil berbeza. Lebah? Di manakah lencana kelab masing-masing?

Kami turut mendapat pertanyaan yang sama daripada pembaca kami mengenai gambar profil ‘lebah pekerja’ yang digunakan oleh akaun media sosial kedua-dua buah kelab.

Apakah maknanya? Dari mana datangnya? Apakah tujuannya? Kami jelaskan pertanyaan anda melalui artikel ini.

Kenapa Lebah Pekerja?

Ia adalah tanda kesatuan seluruh bandar Manchester yang  sinonim dengan simbol lebah. Ia membawa pengertian kerja keras dan sentiasa berusaha.

Simbol lebah mulai digunapakai sebagai simbol bandar Manchester pada era Revolusi Industri yang berlaku di bandar tersebut pada era Victoria. Ia adalah sekitar tahun 1842.

. (Photo by Robbie Jay Barratt – AMA/Getty Images)

Pada masa itu keseluruhan bandar Manchester terkenal dengan industri tekstil dan kilang tekstil tumbuh merata di setiap pelusuk bandar.

Kilang tekstil tersebut diibaratkan seperti sarang dan pusat aktiviti pekerjaan. Para pekerja yang beroperasi di dalam kilang-kilang tersebut diibaratkan sebagai lebah.

Seluruh komuniti di bandar Manchester pada masa itu hanya fokus dan bekerja keras untuk memajukan industri yang mereka ceburi tersebut.

(Photo by Christopher Furlong/Getty Images)

Secara tidak langsung, lebah mewakili tanda kerajinan dan usaha keras pekerja di bandar Manchester pada zaman itu.

Begitulah kisah keseluruhan bandar Manchester menjadi sinonim dengan simbol dan panggilan lebah pekerja.

Apa ertinya dalam perlawanan derbi ini?

Idea ‘lebah pekerja’ ini sebenarnya adalah sejenis emoji yang dicipta oleh Twitter sebelum perlawanan membabitkan Manchester United dan juga Manchester City pada Khamis lalu.

Pengumumuan tersebut juga disusuli dengan langkah kedua-dua buah kelab yang sepakat menyarung jersi yang mempunyai simbol lebah pekerja tersebut, khas untuk perlawanan di Houston ini.

Ia bertujuan untuk mengingati mangsa yang terkorban dalam serangan pengganas yang berlaku di bandar Manchester pada Mei yang lalu.

Penyokong kedua-dua pasukan hanya perlu menggunakan hashtag #ACityUnited atau #ManchesterDerby, untuk simbol emoji lebah pekerja ini muncul di tweet anda.

(Photo credit should read DANNY LAWSON/AFP/Getty Images)

Serangan ke bandar Manchester pada Mei lalu mengakibatkan 22 kematian. Serangan pengganas tersebut mensasarkan konsert Ariana Grande yang sedang berlangsung dan dihadiri oleh ribuan penonton.

Sejak daripada itu, simbol lebah pekerja digunakan oleh penduduk bandar Manchester untuk menunjukkan kesatuan dan solodariti mereka terhadap mangsa yang terkorban.

Rumusan

Kita semua tahu bagaimana panasnya perlawanan membabitkan dua seteru setempat daripada Manchester itu dalam mana-mana pertemuan membabitkan kedua-dua pasukan.

Tetapi satu perkara  harus kita pelajari daripada kisah lebah Manchester ini. Bahawasanya bola sepak juga membawa kesatuan. Ia membawa mesej kedamaian.

Persaingan harus hangat. Tetapi biarlah kehangatan itu dihangatkan di atas padang. Selebihnya, ia harus menyatukan setiap lapisan masyarakat yang mengakui dirinya cintakan bola sepak.

Sumber:

1. Sophie Christian, Independent (2017): Manchester Attack: Twitter Launches Worker Bee Emoji To Honour Terror Victims; http://www.independent.co.uk/life-style/gadgets-and-tech/manchester-terror-attack-latest-twitter-worker-bee-emoji-united-city-pre-season-derby-football-a7851231.html

2. Matthew Cooper, M.E.N (2017): Why is a bee the symbol of Manchester; http://www.manchestereveningnews.co.uk/news/greater-manchester-news/manchester-bee-symbol-meaning-tattoo-11793163

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN