Makna Di Sebalik Lisbon Lions Yang Membuatkan Penyokong Celtic Diiktiraf FIFA

Penyokong Celtic menang Anugerah Penyokong Terbaik FIFA Best 2017. Kejayaan ini hasil daripada usaha mereka memaparkan mozek Lisbon Lions ketika perlawanan perlawanan liga menentang Hearts pada Mei 2017.

Ramai yang menjangkakan penyokong Celtic sukar untuk memenangi anugerah ini. Ini kerana, penyokong Celtic antara penyokong yang paling banyak didenda oleh FIFA dan UEFA.

Musim lalu, mereka pernah mengibarkan bendera Palestine dalam perlawanan menentang Hapoel Be’er Shava. Ia telah membuatkan mereka didenda oleh UEFA £9,000.

Sebelum itu mereka memang sudah mengibarkan bendera Palestine dalam beberapa perlawanan termasuk ketika menentang KR Reykjavik pada 2014.

Apa maksud di sebalik Lisbon Lions?

Penyokong Celtic membuat mozek tersebut sempena memperingati pasukan istimewa mereka pada 1967 yang berjaya menewaskan pasukan gergasi Inter Milan di Lisbon.

Pasti ramai yang kurang tahu akan makna di sebalik Lisbon Lions ini.  Tanggal 25 Mei 2017, ianya adalah ulang tahun ke-50 peristiwa bersejarah tersebut yang menyaksikan Celtic menjulang Piala Eropah.

Pasukan Celtic pada 1967 digelar dengan nama Lisbon Lions oleh penyokong-penyokong Celtic.

Anak jati Celtic

Lebih bermakna apabila kesemua 15 pemain yang beraksi dalam perlawanan akhir tersebut lahir kurang 30 batu daripada Celtic Park di Glasgow.

Salah seorang daripadanya lahir kurang 10 batu daripada Celtic Park. Dan seorang sahaja yang lahir 30 batu daripada Celtic Park iaitu Bobby Lennox yang lahir di Saltcoats.

Jadi, pasukan ini sememangnya ada nilai sentimentalnya yang tersendiri kepada penyokong-penyokong Celtic.

Celtic kejutkan Inter Milan

Anda masih ingat ketika Celtic menewaskan Barcelona pada 2012 dengan jaringan 2-1? Anda mesti membayangkan mereka bermain seperti itu.

Anda silap! Mereka bermain dengan ofensif ketika itu. Inter Milan dikenali dengan gaya bola sepak catenaccio calcio mereka.

Celtic dilabel sebagai seperti pasukan Belanda yang ditambahkan kelajuan mereka. Celtic efektif memecahkan kubuh pertahanan Inter Milan yang juga sudah banyak kali menghampakan lawan mereka dengan cara bola sepak pasif.

Inter Milan di hadapan menerusi Alessandro Mazzola pada minit ke-7. Ianya daripada sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil selepas Jim Craig menjatuhkan Renato Cappellini di dalam kotak penalti.

Inter gagal untuk memenangi lebih banyak bola mati dalam perlawanan ini. Tanpa sebarang sepakan penjuru, Inter kelihatan sukar untuk menjaringkan gol ke-2.

Celtic menekan Inter dengan dinamik. Hanya 2 sahaja ‘saves’ yang dilakukan oleh penjaga gol Celtic, Ronnie Simpson.

Manakala, penjaga gol Inter Milan, Giuliano Sarti pula dipaksa melakukan 13 ‘saves’ di dalam perlawanan ini. 7 lagi percubaan dihadang pertahanan. 19 percubaan tersasar dan 2 percubaan Celtic terkena palang.

Anda bayangkan betapa ganasnya aksi Singa Celtic ini ketika itu. Inter Milan banyak berkampung di kawasan sendiri.

Pada minit ke-63, Jim Craig menebus kesilapan beliau dengan mencipta peluang gol. Dan ia disempurnakan oleh Tommy Gemmel.

Selepas beberapa siri serangan demi serangan, pada minit ke-83, organisasi pertahanan Inter Milan terpecah. Gemmel mendapat ruang yang besar dan beliau melorongkan bola kepada Bobby Murdoch.

Murdoch melakukan percubaan dari luar kotak penalti, ianya terbias pada Steve Chalmers dan terus menerjah gawang gol.

Celtic menjuarai Piala Eropah yang kini dikenali dengan UCL pada 1967. Menjadikan mereka pasukan British pertama yang memenangi Piala Eropah dan satu-satunya pasukan dari Scotland pernah beraksi di final kejohanan tersebut.

Celtic menamatkan tahun tersebut dengan quintuplet (5 piala). Hanya Barcelona (2009, 2011) dan Inter Milan (2010) sahaja yang melakukannya selepas itu.

*Barcelona 2009 melakukan sextuplet, satu-satunya pasukan yang melakukannya setakat ini. Kami masukkan ia dalam contoh quintuplet kerana mereka mencecah angka quintuplet dan kemudianya sextuplet.

Mereka mara ke final sekali lagi 3 tahun selepas itu. Namun ditewaskan Feyenoord pada masa tambahan dengan kedudukan 2-1. Agak ironi apabila Celtic menangisi kekalahan mereka di San Siro iaitu gelanggang keramat Inter Milan.

Penghargaan

Jadi, pada Mei yang lalu, dalam perlawanan menentang Heart, penyokong Celtic menaikkan logo Lisbon Lions sebagai penghargaan kepada perwira mereka yang berjuang seperti Singa ketika di Lisbon.

Upacara itu turut dihadiri oleh Sir Alex Ferguson dan Kenny Dalglish. Pengerusi Celtic dalam ucapan beliau ketika menerima anugerah ini berkata:

“Aksi terbaik dan kejayaan ini adalah untuk pasukan yang rata-rata diwakili oleh pemain yang membesar hanya beberapa batu daripada kelab Celtic di Glasgow.”

“Mereka dilatih oleh legenda yang lahir di timur Scotland yang asalnya seorang pelombong. Beliau pernah berkata, ‘bola sepak itu tiada makna tanpa penyokong.'”

“Filosofi itulah yang kita sematkan dalam hati dalam apa jua kerja yang kita lakukan. Mewakili semua penyokong Celtic dari seluruh dunia, saya berbesar hati menerima anugerah ini.”

Celtic berharap penyokong lebih berdisiplin

Pihak pengurusan Celtic berbangga dengan kejayaan ini, namun pada masa yang sama berharap penyokong mereka memperbaiki sikap mereka. Penyokong Celtic antara yang paling kontroversi di Eropah.

Ini selepas penyokong Celtic beberapa kali didenda oleh badan bola sepak. Sebelum ini, mereka baru membayar denda sebanyak £8,900 kepada UEFA kerana penyokong menceroboh padang dalam perlawanan menentang PSG bulan lalu.

Dalam tempoh 6 musim terakhir, Celtic sudah membayar denda terkumpul sebanyak £150,000 kerana kelakuan penyokong. Sejak musim 2016/17, mereka sudah pun disabitkan dengan 4 kesalahan penyokong.

Lisbon Lions kekal di hati!

Bagi penyokong Celtic, wira Lisbon Lions akan ‘hidup’ selamanya di hati mereka. Penyokong Celtic memang dikenali dengan artistik mereka di dalam stadium sama ada untuk perkara panas ataupun sebaliknya.

Kali ini mereka menang anugerah penyokong terbaik kerana usaha mereka untuk memberikan penghargaan kepada Lisbon Lions.

Lisbon Lions sentiasa menjadi wadah propaganda mereka untuk menaikkan semangat pemain-pemain Celtic di dalam padang.

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN