“Main Padang JDT Dah Satu Rahmat” – Azmeer Enggan Komen Kekuatan Import & Naturalisasi JDT

Azmeer Yusoff tampil menjawab komen dari salah seorang peminat, yang seolah-olah mahu menganjing kekalahan 10-0 pasukan BRM di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) malam semalam.

Peminat yang menggunakan akaun TikTok bernama @shzwannnn itu meninggalkan satu komen di muat naik Azmeer Yusoff tentang perkenalan pasukan Budak Rumah Murah (BRM).

“BRM ni yang kena 10-0 dengan JDT semalam ni”

 

Tulis peminat tersebut dengan Azmeer Yusoff kemudiannya menjawab soalan tersebut dengan menggunakan komen video berdurasi 2:44 saat.

Dengan menulis kapsyen:

“Game dengan kami pun local Player korang tak dapat main. Sedih!”

Azmeer Yusoff dalam video tersebut menyatakan bahawa:

“Ahh betul, betul, betul, betul yang kena 10-0 semalam tu, tapi be realistic lah brother, kitorang M3 dan JDT satu team yang besar dalam Liga Malaysia, team Super League pun kalah dengan JDT kan? So apa yang kau expect daripada kitorang untuk game semalam.”

“Kau tak boleh nak expect apa-apa, kitorang punya bajet pun kemungkinan lebih kurang 500,000 ke 600,000 setahun, sedangkan JDT punya bajet dalam setahun kalau tak silap mungkin puluhan juta, so apa yang kau expect, tak boleh expect apa-apa punya.”

“So kitorang dapat main ke JDT punya padang pun dah kira satu rahmat dan untuk kitorang, itu kita jadikan satu pengalaman lah walaupun kena 10-0 ke 20-0 ke tapi bagi aku not fair lah kan, kau turunkan segala player import and naturalisasi, yang kitorang ni player yang tak cukup errm pengalaman so shhhhhh.”

Jelas Azmeer Yusoff ketika memberi pandangan yang BRM tak patut dibandingkan dengan JDT.

“Dia actually macam ni lah, lawan team M3 yang 100 % local player, so time ni lah patutnya coach korang tu turunkan yang player-player tempatan juga dari JDT, tapi…… Entah nak buat macam mana, aku tak nak komen lah bab-bab import player naturalisasi macam tu, itu taktikal coach and kitorang dah bagi pun yang terbaik semalam, tak parking bas sekalipun kitorang main game kitorang.”

“Harap, harap siapa nama ni, Syazwan ni follow lah M3 juga, tengok dekat mana kitorang punya standing, kitorang dah bagi yang terbaik so tak payah lah nak cakap benda yang macam, ‘lawak lah BRM ni yang kena 10-0 dengan JDT semalam ni’ apa semua ni, ini team M3 brother, ni BRM FC ni baru setahun jagung je, sabar lah sabar kan.”

“Tak tahu lah, tak tahu nak cakap macam mana, memang tak masuk logik akal lah kalau kau nak komen macam ni, ini bukan masalah boleh terima ke tak boleh terima, aku terima kekalahan semalam, tak ada masalah pun dan sebelum ni aku main dengan team-team lain pun memang bagi saingan yang sengit, kau pun kena ingat aku punya performance lawan dengan JDT.”

“So be a realistic lah korang punya stadium pun puluhan juta, korang punya player pun gaji seorang dekat lima enam angka, so nak compared kan dengan kitorang ok Shazwan (tunjuk isyarat suruh fikir).”

Johor Darul Ta’zim dalam perlawanan tersebut berjaya mencatatkan kemenangan 10-0 dengan Fernando Forestieri  berjaya mencatatkan hat-trick pertamanya.

JDT membuka akaun jaringan seawal minit ke-2 apabila Forestieri membuat ‘backheel’ menarik untuk menewaskan penjaga gol pelawat, Kamarul Effandi Abdul Rahim. Ia bermula dengan hantaran lintang rendah oleh Safawi Rasid dari sebelah kiri gawang gol BRM FC.

Minit ke-7, pemain yang kembali mendapat panggilan untuk bersama skuad Harimau Malaya, Safiq Rahim menggandakan kedudukan dengan gol kedua buat tuan rumah selepas rembatan Safawi Rasid gagal ditepis dengan kemas oleh Kamarul Effandi menemui bekas kapten skuad kebangsaan itu di depan gawang gol.

JDT meneruskan rentak penguasaan perlawanan ke atas lawan. Gol ketiga dan ke-4 mereka hanya dihasilkan berselang lima minit. Safawi Rasid meledak gol ketiga pada minit ke-19 berpunca daripada sepakan percuma sebelum Forestieri mencipta jaringan seterusnya pada minit ke-24 hasil ‘cungkitan’ bersahajanya ke gawang.

Forestieri melengkapkan hatrik pada minit ke-42 selepas menyempurnakan penalti susulan kekasaran ke atas Bienvenido Maranon untuk memastikan JDT melangkah masuk ke bilik persalinan dengan kedudukan 5-0.

Bermula daripada sepakan sudut Safiq Rahim, JDT memulakan babak kedua dengan jaringan seawal minit ke-56 selepas hantaran lambung ke dalam kotak penalti lawan berjaya menemui bek tengah Mauricio yang melepaskan rembatan rendah di depan gawang yang dikawal Kamarul Effandi untuk JDT bertambah selesa.

JDT tidak mengendurkan asakan ke kubu pelawat. Minit ke-70, tindakan Mohamad Haiqal Afendi mengasari pemain gantian, Mohamadou Sumareh di dalam kotak penalti akhirnya mengundang padah apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti yang kemudian telah disempurnakan oleh pemain import, Moussa Sidibe.

Pemain muda, Daryl Sham George berjaya mendapat ‘debut’ bermakna apabila masuk sebagai pemain gantian dan meledak gol ke-8 buat JDT pada minit ke-82 selepas merampas ‘clearance’ kurang kemas benteng lawan.

Minit ke-89, larian membelah benteng lawan oleh Sumareh berjaya mencipta jaringan ke-9 JDT sebelum Danial Amier Norhisham melengkapkan malam gemilang tuan rumah di penghujung aksi dengan jaringan ke-10.

BRM berpeluang untuk mencipta satu jaringan sekurang-kurangnya menerusi sepakan penalti yang diraih, namun sepakan yang diambil Fitri Omar berjaya diselamatkan oleh penjaga gawang JDT, Haziq Nadzli untuk memberikan mereka kemenangan 10-0 ke atas wakil Liga M3, BRM dalam aksi yang berlangsung dalam hujan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN