Pemain Argentina, Emiliano Martinez mendedahkan yang kejayaan negaranya merangkul gelaran antarabangsa setelah sekian lama terletak kepada permainan video.
Seperti anak muda yang lain, skuad Argentina juga gemar bermain permainan video dan ini digunakan sebagai wadah kepada kesepakatan sesama pasukan hingga mampu menjadi juara.
Call of Duty & Among Us jadi pilihan
Menurut Martinez, kejayaan pasukannya merangkul gelaran Copa America terletak kepada semangat kekitaan yang tinggi.
Ianya dibina menerusi sesi bermain permainan video sesama rakan sepasukan seperti Lionel Messi, Sergio Aguero, Lautaro Martinez dan ramai lagi.
Ujar penjaga gol Aston Villa itu, skuad Argentina sering menghabiskan masa dengan bermain permainan seperti Among Us dan Call of Duty (COD).
“Pasukan kami sangat rapat kerana kami bermain permainan seperti kad, Among Us, Call of Duty, kadang kala FIFA dan pertandingan ping pong.”
Tambah Martinez, mereka begitu seronok bermain pelbagai permainan hingga sampai jam dua pagi.
Sudahlah dua pagi, esoknya pula ada perlawanan kelayakan Piala Dunia pula tu. Gila betul!
“Kami sangat kompetitif dan senang untuk bersama dengan cara itu [bermain permainan video].”
“Sebelum perlawanan kelayakan [Piala Dunia], ada 10 pemain duduk satu bilik dan kami bermain sampai jam dua pagi. Seronok betul!”
Malah lebih menarik, sebelum perlawanan akhir Copa America menentang Brazil, Martinez sempat bermain beberapa perlawanan COD sebelum menumbangkan musuh tradisi Argentina itu.
“Sebelum perlawanan, saya sempat bermain beberapa peta [dalam COD], lepas tu saya turun beraksi,” kata Martinez menerusi MARCA.
“Hari ini saya masih lagi bermain bersama-sama rakan dan COD menghubungkan kami semua.”
“Saya sukakan permainan ini, saya adalah pembunuh. Saya keluar pergi cari musuh.”
Mungkin kerana itulah kenapa perang saraf Martinez kepada pemain lawan cukup hebat setiap kali turun beraksi. COD puncanya.
Cara untuk lekakan diri
Permainan video dijadikan oleh Martinez sebagai cara untuk dirinya keluar dari dunia realiti untuk seketika.
Beliau yang sering membawa peranti PlayStation ke mana saja pasti akan menghabiskan dua jam sehari untuk bermain permainan video.
Bermain permainan video menjadikan Martinez dapat melarikan sekejap fikirannya mengenai perlawanan – barangkali untuk mengubat gementar sebelum beraksi.
“Ia membantu saya untuk berfikir mengenai perkara lain, dan tidak menghabiskan masa dengan telefon sahaja seharian.”
“Ia membantu untuk tenangkan saya.”