Buat kali ketiga berturut-turut di pentas Piala Malaysia, Terengganu dan Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi bakal berentap pada peringkat kalah mati apabila dijadualkan bertemu di peringkat separuh akhir.
Sebelum ini, kedua-dua pasukan pernah bertemu di peringkat sama pada 2018 yang menyaksikan Terengganu menang dengan agregat 3-2 manakala musim berikutnya, JDT menyingkirkan Terengganu FC di suku akhir dengan agregat 5-1.
Terengganu mengesahkan slot ke separuh akhir selepas tidak berdepan banyak masalah mengetepikan Sarawak United, 6-3 manakala JDT dipaksa bekerja keras sebelum atasi Kedah Darul Aman (KDA), 1-0.
Memori pertemuan pada 2019 masih diingati oleh ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain, yang pada masa itu bergelar pengendali sementara namun menyifatkan pertemuan lalu sudah menjadi sejarah.
Ditambah dengan perbezaan pemain serta pengalaman yang diraihnya sepanjang dua musim bergelar ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi menjangkakan pasukannya sedang berada di momentum terbaik untuk berikan saingan.
“Berbicara tentang JDT di pertemuan separuh akhir, saya rasa semua sudah maklum mengenai mereka kalau hendak dibandingkan dengan Terengganu, sangat jauh berbeza.”
“Namun, kali ini kami benar bersedia malah pasukan sedang berada dalam landasan yang tepat dan kami akan berikan yang terbaik memandangkan hanya selangkah sahaja lagi ke final.”
“Apa yang berlaku pada 2019, itu sudah satu jadi sejarah kerana pemain dari kedua-dua pasukan sudah berlainan malah pada waktu itu saya merupakan pengendali sementara.”
“Pada situasi itu, saya masih belajar dan itu sebahagian daripada proses pembelajaran serta mencari pengalaman malah sampai sekarang pun saya masih belajar.”
“Sebagai salah seorang pemain yang pernah menjulang trofi Piala Malaysia kali terakhir pada 2001 bersama Terengganu, sudah tentu saya punyai impian yang sama ketika bergelar jurulatih,” katanya.
Pada perlawanan yang berlangsung pada Khamis, Jordan Mintah meledak dua jaringan pada minit ke-2 dan 64 selain Faisal Abdul Halim, minit ke-12 dan Faiz Nasir, pada minit 45.
Sarawak United melakukan kebangkitan lewat dengan dua jaringan pada minit 71 oleh Sandro da Silva serta Uche Agba, minit 89.
Sementara itu di Stadium Sultan Ibrahim, Arif Aiman Hanapi muncul wira tuan rumah dengan jaringan tunggal pada minit ke-40 bagi memastikan JDT dalam landasan terbaik bagi pertahankan kejuaraan Piala Malaysia.
Bagi ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora, beliau menjangkakan tentangan hebat akan diberikan oleh Terengganu pada separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Isnin depan.
“Aksi separuh akhir semestinya akan menjadi satu perlawanan yang sukar, kita semua tahu Terengganu sebuah pasukan baik tambahan sentiasa menjaringkan gol.”
“Bermain di Terengganu selalu sukar cuma keadaan padang di sana mungkin boleh membantu untuk kami bermain cara bola sepak yang diinginkan.”
“Namun semua tahu mereka juga mahu menang, begitu juga dengan kami dan sudah pasti kedua-dua pasukan akan berikan yang terbaik dalam perlawanan ini,” katanya.