Mahu Kembali Ke Saingan Eropah Pula, Adakah Cita-Cita Leeds Terlalu Tinggi?

Leeds United Eropah

Juara Liga Kejuaraan Inggeris, Leeds United baru sahaja kembali ke ‘tempat asal’ mereka selepas mengesahkan slot ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.

Tetapi pengerusi eksekutif kelab, Angus Kinnear sudah pun meletakkan sasasaran baharu buat The Whites untuk kembali beraksi di Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada musim seterusnya.

Leeds telah sah dipromosi ke EPL pada Jumaat setelah pasukan di tempat kedua, West Bromwich Albion tewas kepada Huddersfield Town sebelum ditabal sebagai juara liga divisyen kedua England itu apabila pasukan di tangga ketiga, Brentford tumpas kepada Stoke City.

Bagi sesetengah pihak, sasaran Leeds itu mungkin tidak realistik bagi pasukan yang baru sahaja dipromosi ke EPL untuk musim pertama, melainkan mereka membuat ‘rombakan’ secara besar-besaran dengan berbelanja besar bagi mendapatkan pemain-pemain baharu dengan reputasi tinggi.

Apa yang dikhuatirkan adalah ianya hanya akan berakhir seperti mana Aston Villa yang menjadi pasukan kedua paling tinggi berbelanja di Eropah iaitu sebanyak £142 juta (RM760 juta), tetapi tidak mendapat hasil yang diharapkan dan sekadar bergelut di zon penyingkiran musim ini.

Mengikut rekod, Leeds United pernah beraksi dalam kejohanan Eropah untuk lima musim berturut-turut pada 1998 hingga 2003 dan mara sehingga peringkat separuh akhir UCL pada 2001. Kinnear yang dilantik pada 2017 percaya, kelabnya itu perlu mencapai tahap setinggi itu.

“Ketika kita semua sedang meraikan kejayaan ini, ketika kita semua sedang teruja, kita perlu kembali ke tempat yang sepatutnya kita berada. ini [kejohanan Eropah] adalah ‘tempat asal’ untuk Leeds,” ujar Kinnear.

“Sekarang sudah tiba masa untuk membangunkan pasukan ini dan pastikan dalam masa beberapa tahun akan datang kami akan berada di tempat yang sepatutnya Leeds bersaing iaitu enam pasukan teratas.

“Leeds memang pasukan EPL. Jelas, Leeds juga sepatutnya adalah pasukan UCL.”

Juara Liga Inggeris tiga kali itu telah tersingkir dari EPL pada 2004 dan bergelut untuk kembali ke saingan liga utama Englad itu sehinggalah ketibaan Marcelo Bielsa pada 2018.

Dalam bola sepak, tiada yang mustahil setelah Leicester City pernah membuktikan mereka bukan sahaja mampu mengejar slot ke kejohanan Eropah, malah menjuarai EPL hanya pada musim kedua setelah dipromosi.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Leeds United:

Leave a Reply