Pertembungan epik Lionel Messi dan Kylian Mbappe dalam pentas tertinggi final Piala Dunia 2022 yang mempertemukan Argentina dan Perancis tempoh hari telah memecahkan rekod baharu dalam senario bola sepak global.
Ketua pegawai eksekutif Google, Sundar Pichai dalam ciapannya di Twitter mengumumkan topik mengenai final Piala Dunia telah mencapai carian tertinggi dalam 25 tahun era digital.
Search recorded its highest ever traffic in 25 years during the final of #FIFAWorldCup , it was like the entire world was searching about one thing!
— Sundar Pichai (@sundarpichai) December 19, 2022
Angka carian google yang tinggi itu membuktikan tentang keterujaan masyarakat di seluruh dunia. Ia juga sebagai petunjuk awal kepada rekod tontonan yang akan diumumkan tidak lama lagi.
Google menerusi enjin pelayarnya telah menyediakan data setiap perlawanan yang turut memaparkan keputusan perlawanan selain perincian penting lain seperti tarikh, barisan pemain serta statistik.
Pengguna peranti mudah alih juga boleh menetapkan notifikasi dengan mengetik ikon loceng bagi mendapatkan maklumat terkini pasukan kegemaran mereka.
Pusingan akhir Piala Dunia 2022 yang berlangsung di Qatar telah dianggap sebagai edisi terbaik dalam sejarah penganjurannya kerana sarat dengan kejutan dan menjadi pentas yang menobatkan Messi sebagai pemain terbaik dunia sepanjang zaman.