M. Nagaraja: Daripada Pekerja Majlis Daerah Ke Legenda Perak

Nagaraja Perak

”Kepantasan merupakan aset terpenting Nagaraja selain daripada kualiti hantarannya yang membuka ruang kepada penyerang untuk menjaringkan gol buat Perak.”

Itulah bait kata-kata daripada pengulas bola sepak, Izwan Mohd Nor apabila berkongsikan tentang aura kehebatan bekas pemain sayap Perak, M. Nagaraja yang sering menjadi igauan buat para pemain pertahanan sejak pertengahan 90-an.

Perkongsian ringkas daripada Izwan itu sudah cukup untuk kita membayangkan kehebatan pemain bertubuh kecil ini.

“Setiap kali beliau membuka langkah tatkala bola berada di kakinya, akan ada perasaan bahawa sesuatu akan berlaku.”

”M. Nagaraja adalah jelmaan kepada P.Ravindran. Saya cukup bertuah kerana sempat menyaksikan kedua-dua pemain sayap ini beraksi di dua era yang berbeza,” ujar Izwan lagi.

Lahir pada 14 Oktober 1974 di Hospital Batu Gajah, nama M. Nagaraja mudah untuk mencuri tumpuan para peminat bola sepak Perak berikutan kelincahan dan larian deras dimilikinya sehingga ada peminat yang menggelarkannya sebagai ‘Kinta Express’.

Dalam pada itu, kebolehannya dalam merampas bola daripada pihak lawan dengan begitu baik juga tidak boleh dinafikan.

Stadium Perak sentiasa dipenuhi peminat ketika zaman M. Nagaraja dan rakan sepasukannya beraksi. Kredit foto: Hisham/yob4ever.com

Dari seorang pekerja Majlis Daerah Perak Tengah kepada pemain bola sepak

Mengimbau kenangan permulaan kariernya kepada Semuanya BOLA, Nagaraja mendedahkan bahawa beliau merupakan seorang kakitangan di Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) sebelum dirinya bergelar pemain bola sepak sepenuh masa.

Oleh kerana minatnya yang cukup mendalam terhadap bola sepak, beliau telah beraksi untuk pasukan IRC, Ipoh di Liga Ipoh. Dari situlah bakatnya mula dihidu jurulatih skuad simpanan Perak sekaligus membawanya untuk menyertai pasukan tersebut.

Berkat usaha yang tidak mengenal erti penat, Nagaraja bersama-sama Khalid Jamlus, P. Gunasekaran dan Mahendran telah mendapat perhatian ketua jurulatih skuad utama Perak pada ketika itu, Ken Shellito pada tahun 1995.

Beliau diberikan peluang untuk beraksi bersama skuad utama selama dua tahun (1995 dan 1996) dan nyata pengalaman yang diberikan itu digunakan sepenuhnya oleh Nagaraja dalam meningkatkan kematangannya ketika beraksi.

Ia dibuktikan apabila anak kelahiran Parit itu mendapat kepercayaan mendiang Karl Heinz Weigang untuk membarisi kesebelasan utama pasukan pada saingan 1997. Kehadiran Laszlo Repasi menyerlahkan lagi kualiti yang ada pada M. Nagaraja.

Ini kerana Nagaraja seringkali membantu serta mencipta bantuan kepada jaringan yang dihasilkan oleh Laszlo Repasi. Seperti yang diketahui, Repasi muncul penjaring terbanyak dengan 19 jaringan selepas hanya menyertai pasukan pada pertengahan musim.

Empat kejuaraan bersama Perak

Beraksi dengan pasukan yang cukup berkualiti pada ketika itu, M. Nagaraja telah berjaya menjulang empat kejuaraan iaitu Piala Malaysia 1998 dan 2000 dan muncul juara Liga Perdana Satu bagi dua musim berturut-turut (2002 dan 2003).

Nagaraja mengakui kejayaan menjulang Piala Malaysia 1998 antara kenangan terindah buatnya kerana sebelum itu Perak ketandusan 28 tahun piala paling berprestij itu. Aura Stadium Nasional Bukit Jalil yang dipenuhi hampir 100,000 penyokong Perak dan Terengganu juga masih terpahat di minda beliau.

Nagaraja bagaimanapun gagal untuk memenangi trofi Piala FA sepanjang kariernya walaupun Perak berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir 2002. Skuad yang ketika itu dibimbing Toni Netto hampa selepas Gustavo Romero menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-66.

Selepas sembilan musim menabur bakti buat negeri kelahirannya, Nagaraja memilih untuk menyertai Pulau Pinang bermula musim 2004. Beliau sempat beraksi selama tiga musim bersama skuad Pulau Mutiara itu dan mengambil keputusan untuk bersara pada tahun 2006, ketika berusia 32 tahun.

M. Nagaraja masih aktif bersama pasukan bekas pemain Perak. Kredit foto: Perak TBG

Disiplin dan latihan ‘extra’ amat penting

Turut pernah menyarung jersi skuad kebangsan, Nagaraja menasihati para pemain supaya mementingkan aspek disiplin dalam menjadikan kita sebagai pemain bola sepak yang baik.

”Kalau kita hebat macam mana sekalipun, disiplin memang paling utama perlu dijaga. Kalau tiada disiplin susah untuk kita bertahan lama.”

Dalam pada itu, Nagaraja turut melihat latihan tambahan yang dilakukan juga mampu menjadi tunjang kepada peningkatan prestasi seseorang pemain.

”Macam saya dahulu, kalau jurulatih bagitahu sesi latihan mula jam 5, saya akan turun awal sejam atau setengah jam. Kebiasaannya saya dan Repasi akan turun awal dan buat latihan ‘extra’.”

”Kami akan praktikkan cara terbaik untuk saya dan dia lebih memahami apabila berada dalam perlawanan. Untuk kepantasan juga saya ada buat latihan-latihan tambahan seperti ‘short sprint’ dan sebagainya.”

Bersama bekas pemain import Perak, Josco Farac. Kredit foto: Hisham/yob4ever.com

Penyokong adalah ‘boss’ saya

Nagaraja yang kini mengusahakan ladang kelapa sawit milik beliau sendiri tanpa berselindung mengakui, para penyokong adalah segalanya buat beliau ketika beraksi dahulu.

”Memang penyokong adalah segalanya. Saya amat menghormati para penyokong Perak khususnya. Ketika hari perlawanan, baru nak masuk padang untuk ‘warm up’, para penyokong sudah memenuhi Stadium Perak.”

”Pada saya, mereka adalah ‘boss’ saya, penyokong datang ke stadium dan mengeluarkan duit mereka sendiri. Itu sedikit sebanyak membantu pasukan untuk bayar gaji kami,” jelas Nagaraja ketika dihubungi wakil Semuanya BOLA.

Kredit foto: Hisham/yob4ever.com & Kelab Peminat Bolasepak Perak (KPBP)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN