Persembahan penyerang sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin dalam aksi pembukaan pusingan kelayakan Piala Asia bawah 23 tahun (B-23) menentang Laos di Ulaanbatar, Mongolia mungkin boleh dianggap sebagai kurang memuaskan.
Namun begitu aksinya tidaklah terlalu buruk selepas membantu skuad muda negara meraih kemenangan tipis 1-0 hasil jaringan Azfar Fikri Azhar untuk memastikan skuad kendalian Brad Maloney itu kini memimpin kumpulan J.
Sepanjang 90 minit pemain berusia 19 tahun itu di atas padang, beliau dilihat agak bergelut untuk melakukan gerakan-gerakan yang mampu menghasilkan jaringan, jauh sekali untuk membuat percubaan ke arah gol.
Aksinya ketika bersama skuad senior ketika perlawanan persahabatan menentang Uzbekistan tempoh hari mungkin jauh lebih baik di mana kita boleh melihat beliau melakukan larian, membuat cabaran, mengatasi kawalan pemain pertahanan dan sebagainya.
https://www.youtube.com/watch?v=HcL93r1lSsg
Kemampuan Luqman tidak perlu dipertikaikan lagi. Beliau mungkin antara yang terbaik dalam skuad yang dibawa ke Mongolia jika dinilai berdasarkan pengalamannya selepas setahun berkelana di Eropah.
Meskipun penampilannya bersama skuad utama KV Kortrijk masih terhad, namun beliau telah didedahkan dengan aksi skuad B-23 kelab Belgium tersebut dalam perlawanan-perlawanan kompetitif.
Dua lagi baki perlawanan di peringkat kumpulan selepas ini pastinya lebih mencabar. Meskipun kedudukan Mongolia dalam ranking dunia tidak jauh berbeza dengan Laos, tetapi negara pusat Empayar Mongol itu telah membuat kejutan dengan mengikat Thailand dalam aksi pertama mereka.
FT: 🇹🇭 Thailand 1 – 1 Mongolia 🇲🇳
Both teams share the spoils in their #AFCU23 Qualifiers campaign opener in Group J! pic.twitter.com/iXslE69INf
— #AsianCup2023 (@afcasiancup) October 25, 2021
Manakalah kualiti yang dimiliki oleh Thailand tidak perlu dihuraikan lagi. Negara gajah putih itu sejak sekian lama telah menghasilkan pemain-pemain berkualiti dan masih memegang rekod selaku pasukan Asia Tenggara paling berjaya dalam sejarah.
Dalam bola sepak, matlamat utamanya adalah untuk mencapai kemenangan. Untuk menang kita perlu menghasilkan jaringan.
Berdepan dengan Laos yang diletakkan sebagai perlawanan wajib menang, hampir sahaja kita berputih mata selepas barisan serangan kita buntu untuk mencari gol yang diperlukan.
Malah Brad Maloney mengakui beliau rasa bertuah untuk pasukannya menang tipis walaupun Malaysia jelas mendominasi penguasaan bola sepanjang perlawanan.
Luqman adalah salah satu senjata terbaik yang kita miliki. Dengan tempoh masa yang singkat ini, barisan kejurulatihan perlu memikirkan apakah kaedah atau taktikal terbaik untuk menyerlahkan potensi yang dimiliki olehnya dalam aksi seterusnya.
Carilah cara terbaik untuk menghubungkan ayam tambatan kita ini dengan gerakan-gerakan yang dicatur oleh Mukhairi Ajmal dan Nik Akif Syahiran mahupun gerakan-garakan dari bahagian sayap untuk kita mendapatkan gol dan memenangi perlawanan.