Diluar jangkaan ramai, penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin tersenarai antara 80 calon pemain muda untuk anugerah Golden Boy 2020.
Sedikit mengejutkan, senarai calon-calon akhir sepatutnya pemain-pemain muda yang sedang beraksi di liga-liga dalam Eropah dan berusia 21 tahun ke bawah sedangkan Luqman Hakim belum lagi menjejakkan kaki ke Belgium sehingga ke saat ini.
‘Satu pengiktirafan’
Bekas CEO Program Pembangunan Bolasepak Nasional (NFDP), Safirul Abu Bakar dilihat memuat naik ciapan di laman Twitternya, “Satu lagi penghargaan buat Luqman Hakim. Ya, dia belum lagi teruji di Eropah tetapi ia satu pengiktirafan yang baik.”
“Ia sangat baik untuk nilai pemain tersebut,” tambah Safirul yang pastinya berbangga dengan produk kelahiran NFDP mula mendapat perhatian daripada dunia. Anugerah tersebut merupakan anjuran sebuah akhbar di Itali, Tuttosport sejak tahun 2003.
Kira-kira dua minggu lalu, akhirnya Luqman Hakim sah akan berkelana ke luar negara apabila Selangor setuju untuk melepaskan pemain berusia 18 tahun itu ke kelab Belgium, KV Kortrijk. Beliau dijangka akan berlepas ke sana pada bulan depan.
“Semuanya dalam proses terakhir dan dijangka seawal Ogos, Luqman akan ada di sana,” jelas wakil kelab mengenai status terkini Luqman Hakim, yang sedang menguruskan segala dokumentasi pemain itu di Kuala Lumpur beberapa hari yang lalu.
Bersaing bersama Haaland, Ansu Fati dan Mason Greenwood
Melihatkan senarai pencalonan untuk anugerah itu, Luqman Hakim bukanlah pemain yang setara pemain-pemain seperti pemain sensasi Borussia Dortmund, Erling Haaland, Ansu Fati (Barcelona) dan Mason Greenwood (Manchester United).
Namun, bakat setiap pemain ini mungkin setara walaupun ada di antara mereka masih belum mendapat pendedahan dalam saingan liga di negara masing-masing.
Walaubagaimanapun, peluang untuk ‘berlaga bahu’ bersama bintang-bintang dunia ini pastinya sesuatu yang amat berharga buat pemain muda kelahiran Kelantan ini dalam pembinaan kariernya kerana namanya kini sudah terpahat dalam senarai pencalonan.
Sebelum ini, menerusi laman Goal.com, Luqman Hakim turut tersenarai antara 50 ‘ubi muda’ terbaik di seluruh dunia menerusi NxGn 2020. Oleh itu, pencalonan di anugerah Golden Boy dilihat satu lagi pengiktirafan terhadap bakat muda yang dimiliki negara.
Undian daripada wartawan sukan dunia
Pada musim lalu, pemenang anugerah ini adalah Joao Felix, bintang muda yang kini sedang beraksi di Sepanyol bersama Atletico Madrid. Mengikut rekod, belum ada lagi bintang muda dari Asia memenangi anugerah tersebut sejak tahun 2003.
Pemain kelahiran Perancis mendominasi senarai pemenang dengan tiga kali pemain mereka telah menerima anugerah tersebut iaitu Paul Pogba pada 2013 dan Anthony Martial (2015) – kini bersama Man United, serta Kylian Mbappe pada 2017.
Pemenang akan dipilih menerusi undian daripada wartawan-wartawan sukan daripada tabloid terkenal di seluruh dunia antaranya Bild (Jerman), l’Équipe (Perancis), Marca (Sepanyol), Mundo Deportivo (Sepanyol) dan The Times (United Kingdom).
Adakah Luqman Hakim akan mendapat undian daripada mereka? Tampak sukar dengan beliau belum lagi tampil beraksi bersama KV Kortrijk dan dengan persaingan daripada 79 calon lain yang tentunya namanya akan agak sedikit kebelakang.
Penutup
Calon utama untuk anugerah Golden Boy 2020 tentunya Erling Haaland dan Jadon Sancho yang memiliki rekod menakjubkan bersama kelab mereka, Borrusia Dortmund dalam saingan musim ini. Sukar untuk menidakkan kemungkinan tersebut.
Namun, tahniah Luqman Hakim. Daripada senarai 100 calon pada bulan lalu, kemudian mengecil kepada 80 calon, nama anda masih terpahat di sana. Pastikan penghijrahan ke KV Kortrijk memberi kesan dan impak yang baik buat karier dan juga negara.
KREDIT FEATURED IMAGE: LUQMAN HAKIM