Kejayaan menamatkan saingan di tempat ketiga kejohanan Piala Airmarine selepas menewaskan Afghanistan 2-1 sebentar tadi memberikan semangat tambahan kepada Tan Cheng Hoe untuk mempersiapkan pasukan menghadapi dua misi yang lebih penting selepas ini.
Dua misi penting tersebut adalah memastikan Malaysia kembali ke pentas final Piala AFF 2020 dan juga layak ke Piala Asia 2023 secara merit.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mahu peminat bola sepak tanah air bersabar kerana perjalanan skuad Harimau Malaya masih jauh dan berada di landasan yang tepat.
“Kami perlu melihat ke hadapan dan Malaysia memiliki dua lagi kejohanan menjadikan keutamaan. Sebilangan tonggak utama skuad negara sedang berkhidmat bersama skuad B-23 negara.
“Semua pihak harus bersabar kerana skuad negara masih lagi dalam landasan yang tepat,” katanya dalam Stadium Astro.
Kekalahan 1-0 kepada Singapura kelmarin ternyata memberikan impak yang besar dari segi kedudukan ranking kerana Malaysia akan beraksi dalam pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2022 yang turut berfungsi sebagai kelayakan ke Piala Asia 2023.
“Kelayakan pusingan pertama Piala Dunia agak mencabar. Kami akan melihat undian kumpulan yang bakal dilakukan bulan depan dan membuat persiapan menghadapinya.” jelas Stuart Ramalingam.
Akur dengan situasi itu, pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mahu anak buahnya lebih bersedia dari segi fizikal dan mental kerana lawan yang mereka akan temui selepas ini jauh lebih kuat dan mencabar.
“Aksi ‘play-off’ dijadual berlangsung pada bulan perayaan (6 dan 11 Jun) jadi saya mengharapkan pemain dapat bersedia dari segi mental dan fizikal memandangkan menjalani latihan pada bulan puasa dan hari perayaan sudah tentu memberi cabaran kepada pemain.
“Jika kita nilai berdasarkan momentum dan keazaman yang ditunjukkan pemain pada Piala AFF 2018 dan ia dapat terus dikekalkan, saya lihat aksi ‘play-off’ tidak akan mendatangkan masalah kepada kita.
“Aksi ini begitu penting kerana kita mahu layak ke pusingan seterusnya di mana ia bukan sahaja memberikan tiket ke Piala Dunia 2022 namun slot untuk beraksi di Piala Asia 2023,” katanya.