Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Lupakan Perbezaan, Bola Sepak Antara Medium Terbaik Pupuk Perpaduan Negara

“Malaysia!!!!!!!! Serang!!!!!!!!!” Jerit Parthiban seperti orang lupa diri melakukan larian selepas berjaya mencuri bola dari pemain lawan.

“Deyyyyyyy…..Macha! Pass itu bola sinilah.” jerit aku pada Parthiban yang dari tadi asyik macam tiada idea nak buat hantaran.

Tapi Parthiban yang digelar Macha sejak dari awal perkenalan kami itu memilih untuk menghantar bola ke arah belakang mencari Goh, sebelum bola dikeluarkan lawan.

“Failed lah lu Apek,” ujar Macha merujuk kepada Goh Kean Jit yang sedang terduduk di atas padang.

“Apa lu olang mau hairan. Itu Dayak pun tarak mari lari mau support. Lu olang ingat gua sama macam itu Layan Gigss boleh gelecek itu ramai-ramai pemain Arsenal?” Getus Apek yang menyalahkan aku kerana tidak bersedia menerima hantaran daripadanya.

Nazreen yang geli hati melihat gelagat kami sambil ketawa terbahak-bahak pun menyampuk. “Itulah korang. Tengok sini. ‘Nazreen turn, Nazreen score!’. Ini minang punya skil..tak payah ikut Ryan Giggs lah Apek. Sebut nama pun tak betul,” kata Nazreen sambil berseloroh sambil meniru lagak gaya idola beliau bersama pasukan Selangor, Azman Adnan.

Tidak. Ini bukan sebahagian dari plot filem bola sepak atau pun sebahagian ulasan dari pengulas terkenal negara Tn. Haji Zainal Abidin Rawop ketika pertemuan Malaysia menentang Jordan pada malam tadi.

Sebaliknya, ia adalah sebahagian dari kenangan penulis dan rakan-rakan sekolah ketika beriadah bermain bola di petang hari di padang sekolah satu ketika dahulu.

Tahun 1994

Penulis berasal dari Sarawak dan merupakan dari suku kaum Iban. Kerana itulah penulis dirujuk sebagai ‘Dayak’ – salah sebuah komuniti rumpun kaum terbesar di Borneo meliputi Sabah, Sarawak dan Kalimantan di mana Iban adalah salah satu sub etnik terbesar di dalam rumpun Dayak itu sendiri.

Tahun 1994 juga merupakan tahun pertama penulis menjejakkan kaki ke bumi Semenanjung Malaysia – selepas mendapat tajaan untuk melanjutkan pelajaran di salah sebuah sekolah berasrama penuh di utara tanah air.

Pertama kali menjejakkan kaki ke bumi semenanjung, segalanya amat asing buat penulis. Baik dari segi budaya, bahasa, mahu pun kepada aspek pemakanan segalanya merupakan pengalaman baru yang tidak pernah dialami oleh penulis sebelum itu.

Namun satu perkara yang menyatukan perbezaan tersebut – sekaligus memudahkan penulis menyesuaikan diri dengan persekitaran baru pada usia yang muda ialah bola sepak.

Bola sepak indah dalam pelbagai cara

Bola sepak adalah sukan yang unik. Kerana keunikkan itulah, bola sepak boleh dinikmati dengan pelbagai cara.

Di kalangan peminat sukan bola sepak, akan ada golongan yang gemar akan kebolehan pemain sekaligus menjadikan pemain tertentu sebagai idola mereka. Ada juga peminat yang mengikuti perkembangan pasukan-pasukan tertentu seperti kelab-kelab di Liga Inggeris misalnya kerana kagum akan superiority atau sejarah kelab tersebut.

Foto: Goal

Tidak kurang juga ada di kalangan peminat bola sepak yang gemar dengan corak taktikal dan falsafah jurulatih-jurulatih tertentu yang disifatkan unik atau pun genius. Dan ada juga di kalangan peminat yang sekadar mengikuti perkembangan semasa untuk dijadikan bahan gelak ketawa bersama rakan-rakan yang lain.

Lebih menarik lagi, sukan bola sepak boleh diikuti oleh sesiapa sahaja tanpa mengira jantina, pegangan agama, warna kulit, mahupun fahaman politik. Kerana itulah bola sepak dianggap sebagai ‘the beautiful game’ dan merupakan sukan bersifat universal.

Bola sepak sebagai medium perpaduan

Isu perpaduan merupakan salah satu perkara yang sering menjadi topik hangat di kalangan rakyat Malaysia. Namun sebenarnya – jika kita melihat konteks negara Malaysia secara lebih meluas – negara ini juga mempunyai ciri-ciri unik seperti bola sepak. Ia mempunyai lebih banyak elemen untuk kita raikan kerana perbezaan yang turut memberi keunikkan sepertimana bola sepak.

Apabila kita berbicara tentang bola sepak atau menontonnya, semua sempadan terhapus dengan sendirinya kerana kita memberi fokus kepada perkara yang kita sama-sama minati. Seperti sukan lain, bola sepak juga tidak mengenal erti perbezaan.

Kredit: Gate C Supporters, Facebook.

Bermain atau menonton bola sepak bersama rakan-rakan daripada kaum lain boleh membantu menyatupadukan manusia daripada keturunan dan warna kulit berbeza.

Hakikatnya kita tidak perlu pergi jauh untuk melihat bagaimana bola sepak menyatukan kita. Contoh terbaik ialah di dalam saingan Liga Malaysia itu sendiri.

Skuad Negeri Sembilan 1996 misalnya pernah dikendalikan oleh jurulatih M. Karathu yang berbangsa India dan mempunyai pemain seperti B. Rajnikandh yang hampir mengejutkan saingan Liga Perdana pada ketika itu.

Pulau Pinang juga pernah memiliki barisan pemain seperti Moey Kok Hong, Ooi Hoe Guan dan Ng Kok Heng yang pernah mewarnai kebangkitan skuad Harimau Kumbang satu ketika dahulu.

Malah skuad Bawah 23 dan senior negara pada hari ini dikendalikan oleh dua jurulatih dari kaum Cina, iaitu Ong Kim Swee dan juga Tan Cheng Hoe. Fakta ini bukan untuk menyatakan superiority sesuatu kaum di dalam landskap bola sepak negara. Sebaliknya ia adalah bukti bola sepak diterima oleh semua masyarakat berbilang kaum di dalam negara ini.

Sumber: The Star

Santokh Singh, Soh Chin Aun, James Wong, Mokhtar Dahari, Azman Adnan, Yap Wai Loon dan Matlan Marjan adalah nama-nama yang pernah disorak bersama-sama atas nama Malaysia oleh generasi terdahulu.

Hari ini kita juga masih mempunyai generasi pemain seperti Darren Lok, N. Thanabalan, Safawi Rashid, Brendan Gan, Norshahrul Idlan Talaha dan ramai lagi yang tampil memberi impak yang sama.

Kisah Ivory Coast ke Piala Dunia

Jika kisah di luar negara mahu dijadikan panduan, mungkin kita sebagai komuniti bola sepak dan rakyat Malaysia amnya boleh belajar sesuatu dari Ivory Coast.

Negara tersebut pernah terlibat di dalam perang saudara di antara tahun 2002-2005 akibat perbezaan fahaman agama dan kaum. Tatkala kepelbagaian fahaman politik gagal menoktahkan detik hitam di negara tersebut, bola sepak memainkan peranan penting untuk mengakhirinya.

(Photo credit should read KAMBOU SIA/AFP/Getty Images)

Tidak boleh dinafikan kejayaan Ivory Coast melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia 2006 adalah detik permulaan kepada berakhirnya konflik di negara benua barat Afrika itu.

Selepas berjaya mengesahkan kelayakkan Ivory Coast ke Piala Dunia, pemain bintang, Didier Drogba dipetik sebagai berkata dalam satu ucapan:

World Cup 2006 qualifying game. Ivory Coast vs Cameroon. Cameroon won 3-2. Didier Drogba celebrates scoring a goal for Ivory Coast. (Photo by liewig christian/Corbis via Getty Images)

“Kepada semua lelaki atau wanita di Ivory Coast. Dari utara, selatan, timur dan barat. Hari ini kita membuktikan semua rakyat Ivory boleh bersatu padu dan menerima satu sama lain, selain daripada memainkan peranan masing-masing untuk mencapai satu matlamat: iaitu untuk layak ke Piala Dunia.

“Kami berjanji kejayaan ini boleh menyatu padukan semua kita. Hari ini saya merayu kepada semua – sambil berlutut merayu – ayuh kita saling bermaaf-maafan sesama kita.

(Photo by Alvaro Canovas/Paris Match via Getty Images)

“Negara ini kaya dengan kepelbagaian dan tidak sepatutnya berada di dalam keadaan perang sebegini. Letakkan senjata. Kita adakan pilihan raya yang adil. Saya yakin segalanya akan pulih selepas ini.”

Hasilnya pada 2007, satu perjanjian damai dilakukan dan perang ditamatkan. Drogba dan bola sepak dianggap sebagai salah seorang individu yang memainkan peranan penting di dalam menyatu padukan Ivory Coast sebagai sebuah negara.

(Photo by Cyrille Bah/Anadolu Agency/Getty Images)

Di kebanyakkan negara, ahli sukan dipandang tinggi lebih daripada ahli politik – termasuk oleh golongan kanak-kanak. Ini termasuklah pemain bola sepak.

Kerana kenyataan dari Drogba seperti di atas, rakyat Ivory Coast mampu menolak perbezaan mereka. Ini membuktikan bola sepak memainkan peranan penting sebagai medium perpaduan. Apatah lagi bola sepak juga merupakan sukan No.1 dunia dan tentu juga sukan No.1 rakyat Malaysia.

Malaysia cintakan keamanan

Di sebalik segala perkhabaran berasaskan perkauman yang mengarah kepada perpecahan dan menjurus kepada kebencian – hakikatnya penulis percaya majoriti daripada kita yang waras dan sayangkan negara ini masih menolak sebarang bentuk perpecahan.

Perkara ini juga boleh dibuktikan melalui bola sepak. Ketika menonton perlawanan bola sepak di restoran-restoran mamak misalnya, kita tidak pernah kisah untuk duduk semeja dengan rakan-rakan yang berbeza kaum dan agama – demi bersama-sama memberikan sokongan kepada pasukan.

Foto: Malaysian Insight

Masih ingatkah anda akan saudara Shaunvinder Singh dan Gurmesh Singh yang memainkan instrumen seperti gendang yang dipanggil ‘dhol’ di kalangan masyarakat Sikh di Stadium Shah Alam pada tahun lalu?

Kedua-dua penyokong Malaysia tersebut rancak memukul ‘dhol’ yang mereka bawa ke stadium ketika perlawanan membabitkan pasukan negara di Sukan SEA pada tahun lalu, diiringi sorakan dari penyokong-penyokong Harimau Malaya yang lain.

Malah kedua-duanya sempat bermain ‘dhol’ sambil menari bersama penyokong-penyokong pasukan negara yang datang daripada pelbagai latar belakang di luar stadium – sebelum dan juga selepas perlawanan – menjadi bukti jelas bahawasanya kita sebenarnya adalah satu di sebalik kepelbagaian warna kulit, kepercayaan mahu pun pegangan politik jika ia mengenai bola sepak.

Tidak dilupakan juga bagaimana penerimaan dan reaksi lebih 83,000 penyokong Malaysia yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil ketika Dr. G. Roshan melamar pasangan beliau Shinna Teh yang mendapat tepukan gemuruh penyokong yang hadir dalam perlawanan menentang Myanmar baru-baru ini.

Pasangan itu sendiri unik kerana pertamanya kedua-dua mereka adalah dari suku kaum berbeza – sebenarnya bukan perkara asing di Malaysia. Keduanya, mereka disatukan oleh bola sepak.

Atau sekiranya semua contoh di atas tidak cukup untuk membuktikan betapa bola sepak adalah medium terbaik untuk menyemai perpaduan – bagaimana pula perasaan anda menyanyikan lagu Negaraku bersama-sama 80,000 rakyat Malaysia yang lain sebelum perlawanan membabitkan pasukan negara?

Rumusan: Jangan biarkan emosi rosakkan perpaduan kita

Manusia adalah makhluk kompleks ciptaan Tuhan. Kita mempunyai emosi untuk melindungi apa yang kita percaya serta pegangan yang menjadi falsafah sesuatu kelangsungan.

Di sebalik semua itu, Tuhan juga memberikan kita akal fikiran untuk berfikir secara rasional. Tanpa mengira apa pegangan setiap daripada kalian yang membaca artikel ini, penulis percaya anda bersetuju dengan dua kenyataan di atas.

Anggota polis mengawal keadaan selepas pertembungan antara penyokong penceramah antarabangsa, Dr Zakir Naik dan…

Posted by Berita Harian Online on Friday, July 27, 2018

Usia negara kita baru sahaja mencecah 62 tahun. Secara pengiraan jika dibandingkan dengan negara lain – negara kita Malaysia sebenarnya masih muda. Pelbagai tragedi telah kita lalui bersama.

Begitu juga dengan deretan kejayaan yang kita boleh banggakan bersama-sama sebagai rakyat yang bernaung di bawah satu perlembagaan – yang wajar kita hormati – dan bendera yang kita kenali sebagai Jalur Gemilang.

Di dalam setiap tanduk kita, mahupun di dalam setiap bicara yang dituturkan, ingatlah satu perkara. Bahawasanya tanggungjawab melindungi bumi bertuah ini adalah tanggungjawab kita bersama.

Buat semua pembaca kami, Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-62.

 

Nota editor: Artikel asal telah ditulis pada 30 November 2018, telah disunting dan diterbitHari kan kembali sempena sambutan kemerdekaan Ke-62.