Ini mungkin berita baik buat penyokong Manchester United yang risaukan keadaan bek kiri England, Luke Shaw.
Menurut laporan dari UK, Shaw berkemungkinan akan diturunkan dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Watford pada Sabtu ini.
Hal ini sedemikian walaupun pemain pertahanan itu baru sahaja mengalami kecederaan di kepala dalam insiden pertembungan dengan Dani Carvajal genap seminggu yang lalu.
Shaw mengalami kecederaan selepas bertembung dengan Carvajal ketika mewakili England menentang Sepanyol dalam perlawanan Nations League pada Sabtu lalu.
Insiden tersebut menyaksikan perlawanan terpaksa dihentikan selama lebih kurang 5 minit untuk membenarkan rawatan diberikan kepada Shaw di atas padang sebelum pemain tersebut diusung keluar.
Menurut peraturan yang ditetapkan oleh Football Association (FA), mana-mana pemain yang mengalami kecederaan di kepala harus direhatkan selama 14 hari untuk tujuan rawatan.
Namun peraturan tersebut turut menyebut seseorang pemain dibenarkan kembali beraksi sekiranya tujuh kriteria tambahan yang ditetapkan oleh FA dipatuhi.
Di dalam kes Shaw, Manchester United dikatakan mematuhi kesemua tujuh kriteria tersebut, termasuk memiliki pegawai perubatan yang pakar dalam kecederaan sedemikian.
Kriteria lain turut menyentuh mengenai ujian-ujian perubatan yang wajib dilaksanakan, dan fasiliti sokongan yang wajib dimiliki oleh kelab di pusat latihan untuk tujuan rawatan.
Walaupun mematuhi kriteria dan peraturan yang ditetapkan oleh FA, tidak semestinya Shaw akan diturunkan dalam perlawanan di Vicarage Road pada Sabtu hadapan.
Semuanya akan bergantung kepada laporan perubatan yang disediakan oleh pasukan perubatan Manchester United, sebelum Shaw dibenarkan berada di dalam kesebelasan utama Jose Mourinho.