Legenda Manchester United, Paul Scholes melontarkan pujian terhadap prestasi cemerlang yang dipamerkan pemain bek kiri Manchester United, Luke Shaw ketika ini.
Scholes berkata pemain berusia 23 tahun itu berpotensi untuk menjadi salah seorang pemain bek kiri terbaik dunia satu hari nanti.
“Sejak beberapa tahun ini, saya selalu berfikir bahawa dia (Shaw) dengan mudahnya mampu menjadi pemain bek kiri terbaik dunia.” ujar Scholes kepada BT Sport.
Scholes memuji Shaw selepas melihat aksi cemerlang pemain itu membantu United mencatat kemenangan 3-0 bertemu BSC Young Boys di Stade de Suisse dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah semalam.
“Saya fikir kelebiha utama yang Shaw miliki ketika ini ialah tempoh masa untuk beraksi.”
“Beliau dapat bermain dengan baik untuk tujuh atau lapan perlawanan tanpa mengalami sebarang kecederaan.” katanya.
Scholes turut berpendapat bahawa Jose Mourinho harus sentiasa menurunkan Shaw dalam setiap perlawanan kerana pemain itu perlu cergas setiap masa.
“Shaw adalah pemain yang perlu dibantu untuk kekal cergas. Untuk itu dia perlu bermain setiap minggu.”
“Saya fikir Shaw menjadi lebih baik dan saya berharap beliau dapat menjalani musim yang baik kali ini. ”
Rakan seperjuangan Scholes iaitu Rio Ferdinand turut memuji Shaw yang mampu melawan untuk keluar dari prestasi buruk sebelum ini.
“Dia adalah pemain muda Inggeris yang memiliki mental yang kuat.”
“Beliau mendapat banyak kritikan sebelum ini, apatah selepas prestasi memberangsangkan sebagai pemain muda di Southampton.”
Luke Shaw menyertai Manchester United pada 2014 dengan yuran perpindahan sekitar £30juta, sekaligus menjadikan beliau sebagai pemain remaja termahal di dunia pada masa itu.