Bek kiri Manchester United, Luke Shaw menegaskan bahawa The Red Devils perlu meletakkan keutamaan memenangi kejuaraan berbanding hanya mensasarkan untuk menduduki empat tempat teratas dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21.
Kali terakhir United menjulang trofi liga paling popular di dunia itu ialah pada musim 2012/13 yang mana merupakan musim terakhir kelab tersebut mendapat bimbingan pengurus legenda, Sir Alex Ferguson.
Keadaan itu sudah pasti membuatkan kem Manchester United bertekad mahu melunaskan kekecewaan saban tahun yang dihadapi dengan memenangi kejuaraan EPL buat kali ke-14.
Sehubungan dengan itu, Shaw beranggapan skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu perlu memiliki sasaran yang lebih tinggi pada saingan kali ini.
”Kami sudah bersedia untuk menghadapi musim baharu ini,” ujar Shaw menurut laporan yang dikeluarkan Goal.
”Kami perlu untuk menjadi sebuah pasukan yang kuat dan fokus untuk memenangi trofi, tidak hanya untuk berada dalam kelompok empat pasukan teratas sahaja.”
”Kelab seperti kami seharusnya memenangi trofi.’
Dalam pada itu, Shaw yang bakal beraksi pada musim ketujuhnya bersama United mengakui agak kekok berikutan latihan pra-musim begitu singkat dinikmati pada kali ini.
”Ini perasaan yang sangat pelik terutamanya buat saya. Saya tidak merasakan saya mempunyai banyak waktu untuk berehat. Sejujurnya saya belum memilikinya [cuti].”
”Tetapi itulah kadang-kadang terjadi dalam kehidupan. Anda perlu untuk bersedia walau apa yang berlaku dan ini adalah senario di mana kami mempunyai ramai pemain berkelas dunia yang kami nantikan untuk kembali menjalani latihan.”
United berada di mood terbaik untuk mengharungi kempen 2020/21 apabila menamatkan saingan musim lalu di tangga ketiga sekaligus dapat kembali beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.
Kredit featured image: Matthew Peters/Manchester United via Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Luke Shaw: