Pemenang Piala Dunia 2014, Lukas Podolski dilaporkan menyatakan minatnya untuk menyertai juara Liga Super Malaysia enam musim berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Perkara yang pastinya membuatkan para peminat Harimau Selatan teruja itu disahkan sendiri oleh Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja.
Sejak kebelakangan ini terdapat beberapa laporan yang mengatakan bahawa JDT akan membawa masuk pemain import yang berstatus pemenang Piala Dunia.
Ketika ditanya adakah Lukas Podolski individu yang dimaksudkan, ini respon pantas daripada Tunku Ismail:
”Ya, Podolski ada menghubungi saya menyatakan minatnya untuk menyertai JDT. Dia akan datang ke sini [Johor Bahru] untuk proses perbincangan.”
”Tetapi kita tidak boleh buat keputusan lagi kerana kuota pemain import kita pun sudah penuh, mungkin perbincangan ini juga boleh menjurus kepada kerjasama yang lain,” ujar Tunku Ismail kepada wakil Semuanya BOLA di Padang Seri Gelam petang semalam.
”Rezeki buat JDT kerana sebelum ini kami perlu memburu pemain, tetapi sekarang sudah berubah kerana pemain pula yang mencari kami untuk menyertai pasukan.”
Dalam pada itu, Tunku Ismail turut mendedahkan dua bekas pemain bola sepak terkenal dunia, Marco Materazzi dan Luis Figo juga kini dalam perbincangan untuk menjadi pemegang saham JDT.
Kredit foto: Masashi Hara/Getty Images