Romelu Lukaku berkata prestasi buruk bersama Manchester United sejak permulaan musim adalah kesan daripada pembabitan beliau bersama Belgium di saingan Piala Dunia yang lalu.
Penyerang antarabangsa Belgium itu menjaringkan empat gol sepanjang kempen di Rusia untuk membantu negaranya menduduki tempat ke-3 kejohanan tersebut pada musim panas.
Fizikal berlainan
Bekas penyerang Chelsea dan Everton itu berkata lebihan otot yang dimiliki beliau pada hari ini adalah merupakan sebahagian daripada persiapan untuk menghadapi cabaran Piala Dunia bersama Belgium.
Namun penyerang berusia 25 tahun itu memberi alasan fizikal tersebut tidak sesuai untuk saingan di Liga Perdana Inggeris – selain turut mengakui kepenatan selepas kejohanan Piala Dunia.pada musim panas lalu.
Kini Lukaku berkata beliau harus menurunkan berat badan yang bersesuaian untuk memastikan mampu memberi yang terbaik untuk Manchester United.
Prestasi buruk dan kritikan
Pemain itu bergelut dengan prestasi pada musim ini, dan setakat ini hanya mampu menyumbangkan enam gol dari 15 perlawanan yang dilalui dalam semua pertandingan untuk skuad kendalian Jose Mourinho.
Pretasi semasa pemain tersebut menyebabkan beliau adakalanya disisihkan dari skuad United, dan turut dikritik oleh ramai termasuk pengurus beliau sendiri di Old Trafford. Jaringan ketika membantu Manchester United menang 4-1 ke atas Fulham pada hujung minggu lalu adalah gol pertama beliau di Old Trafford sejak Mac lalu.
Bercakap mengenai prestasi semasa beliau dan kesan Piala Dunia, Lukaku berkata:
“Saya menambah sedikit otot untuk menghadapi Piala Dunia. Ia sesuatu yang diperlukan, dan ia sesuai untuk Piala Dunia. Saya berpendapat saya beraksi dengan baik di sana [Rusia].
“Namun setelah saya kembali, jelas sekali ia adalah corak bola sepak yang berbeza bersama United.
“Di EPL saya tidak boleh beraksi dengan lebihan otot sebegini seperti di Piala Dunia atau perlawanan antarabangsa. Apabila saya kembali di sini [Old Trafford], saya sudah tahu akan mengalami masalah ini.
“Saya harus membuang lebihan otot yang ada. Jadi apa yang saya lakukan sekarang ialah menjauhkan diri dari latihan di gimnasium, minum lebih banyak air, dan ambil lebih banyak sayuran dan ikan di dalam diet harian.
Mourinho faham
Lukaku turut berkata beliau telah berbincang dengan Mourinho mengenai masalah beliau tersebut, dan pengendali dari Portugal tersebut memahami keadaan beliau.
“Saya berbincang dengan pengurus [Jose Mourinho] beberapa hari lalu dan beliau memahami itu. Sebelum perlawanan menentang Fulham, beliau memberitahu apa yang beliau mahukan dari saya.
“Saya juga sedar bahawa saya perlu memberikan aksi yang lebih baik. Sebelum ini saya beraksi tanpa intensiti dan tidak cukup agresif. Tetapi dalam perlawanan menentang Fulham, saya berpendapat intensiti itu lebih kurang sama dengan pemain lain.
Akui perlu lakukan sesuatu
Turut mengakui kepenatan selepas kempen Piala Dunia, Lukaku mengaku beliau perlu segera melakukan sesuatu untuk mengembalikan prestasi musim lalu. Lukaku turut mengalami kecederaan harmstring setelah kembali beraksi bersama United.
“Saya sedar akan hal itu. Jadi saya mulai bekerjasama dengan pasukan perubatan untuk mencari punca masalah. Saya mengalami harmstring. Saya tidak pernah mengalami kecederaan sebegitu sebelum ini.
“Sekarang saya perlu melakukan latihan tambahan secara berasingan – bertujuan untuk mengelakkan kecederaan dan melakukan lebih banyak latihan pecutan, yang merupakan aspek penting diperlukan oleh saya.
“Secara mental, saya juga agak kepenatan selepas Piala Dunia. Ia begitu tegang kerana beban harapan untuk memburu kejuaraan di Rusia.
“Namun secara perlahan-lahan, saya merasakan diri bertambah baik, dan mulai bersedia untuk memberi yang terbaik untuk Manchester United. Saya hanya mahu melihat perkara di hadapan, dan terus meningkatkan prestasi – dan turut menambah baik aspek-aspek lain dalam permainan saya untuk membantu pasukan memburu kemenangan.”