Luka Modric Masih Antara Yang Terhebat, Ini 5 Box-to-Box Midfielder Terbaik Sepanjang 2021

Memiliki box-to-box midfielder yang hebat merupakan satu kepuasan dan keinginan untuk setiap pengurus dalam dunia bola sepak hari ini.

Pemain yang mampu bermain di posisi ini merupakan seseorang yang memiliki kekuatan mental, fizikal dan stamina yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Mereka juga merupakan antara nadi penting yang akan menggerakkan jentera serangan dan juga benteng pertama ketika bertahan.

Pada tahun 2021, para peminat mampu untuk menyaksikan ramai pemain di peranan box-to-box ini yang mampu mempamerkan aksi persembahan yang sungguh mengagumkan.

Dari kesemua pemain box-to-box midfielder yang ada, berikut merupakan senarai lima yang terbaik dari kalangan mereka.

5. Georginio Wijnaldum – Paris Saint-Germain

Saingan Premier League merupakan antara liga domestik yang memiliki ramai pemain di posisi box-to-box midfielder.

Walau memiliki ramai pemain di peranan itu, namun tidak ramai yang mampu menyerlah seperti Georginio Wijnaldum ketika kariernya bersama Liverpool.

Pemain kebangsaan Belanda itu sebelum melengkapkan perpindahan menyertai Paris Saint Germain pada musim panas ini, beliau telah menjadi nadi penting untuk Liverpool pada lima bulan pertama tahun 2021 ini.

Beliau sering menggunakan kepantasannya untuk melepasi pemain pertahanan lawan, kekuatan fizikal untuk memenangi duels dan vision untuk menghantar bola ke ruang terbaik untuk melancarkan serangan.

Kontrak beliau bersama Liverpool tamat pada penghujung musim 2020/21, dengan bintang kebangsaan Belanda itu kemudiannya memutuskan untuk menyertai gergasi Ligue 1.

Beliau mungkin tertarik untuk sertai projek terbaru PSG bersama Lionel Messi, Sergio Ramos, Achraf Hakimi dan Gianluigi Donnarumma.

Sepanjang kariernya di Parc des Princes, Wijnaldum masih gagal untuk membuktikan kemampuan sebenar beliau.

Seandainya beliau sudah berjaya mendapatkan rentak persembahan terbaiknya semula, tidak mustahil untuk melihat Wijnaldum bakal menjadi pemain terpenting untuk Paris Saint Germain selepas ini.

4. Luka Modric – Real Madrid

Luka Modric tidak dinafikan lagi sememangnya pemain midfield terbaik yang pernah ada dalam sejarah dunia bola sepak.

Bintang Real Madrid itu jelas sekali merupakan pemain midfield paling lincah, versatile, tidak pernah kenal erti penat dan kerana itu jugalah beliau dianggap sebagai central midfielder terhebat dalam dunia bola sepak hari ini.

Di usia 36 tahun, pemain kebangsaan Croatia itu sama sekali tidak menunjukkan tanda-tanda yang beliau sudah tidak ada keupayaan untuk bermain di peranan asalnya.

Beliau bahkan mampu beraksi lebih baik berbanding pemain-pemain muda dan Modric masih lagi mampu berlari tanpa henti dari awal sepak mula, hingga tamat perlawanan.

Walaupun beliau merupakan pemain paling tua dari trio midfielder terhebat yang Real Madrid miliki, Modric sebenarnya antara yang paling bekerja keras berbanding Casemiro dan Tony Kroos.

Beliau mampu melindungi posisi pertahanan kanan ketika sedang menggerakkan jentera serangan, dan beliau juga sangat jarang terlepas pemain yang beliau kawal ketika bertahan.

Apa yang lebih menakjubkan lagi, Modric juga memiliki kemampuan yang sungguh luar biasa menakjubkan ketika memulakan serangan balas.

Pemain midfield Real Madrid itu juga sangat gemar untuk berlari dari sudut sebelah kanan dan menghantar bola cantik masuk ke dalam kawasan kotak penalti.

Beliau juga sebenarnya turut memiliki kualiti penyudah yang sungguh menakjubkan, dengan beliau turut kerap menjaringkan gol yang cantik dari luar kotak penalti.

Pada tahun ini, pengaruh Modric di atas padang dilihat langsung tidak berkurang dengan beliau masih tetap dominan walau beraksi bertemu pasukan besar.

3. Nicolo Barella – Inter Milan

Pemain midfield Inter Milan, Nicolo Barella tidak dinafikan sedang menikmati karier yang sungguh menakjubkan pada tahun ini.

Pada suku pertama tahun 2021 ini, beliau berjaya membantu Inter Milan merampas gelaran Serie A dari Juventus.

Di bawah kendalian Antonio Conte, Barella memikul tanggungjawab untuk membawa bola dari bawah ke atas dari sudut sebelah kanan.

Beliau mengawal sepenuhnya dari atas sampai ke bawah sudut sebelah kanan padang, dan Barella juga sangat terkenal kerana memiliki keupayaan stamina yang menakjubkan.

Barella memainkan peranan yang diberikan dengan sangat baik, dan menjadikan beliau sebagai antara pemain terpenting Inter Milan ketika menjuarai saingan Serie A.

Pemain kebangsaan Itali itu berjaya menjaringkan tiga gol dan turut mencatatkan sembilan assists dalam saingan Serie A pada musim 2020/21.

Pada musim panas lalu, beliau merupakan pemain terpenting yang membantu skuad Itali untuk menjuarai saingan Euro 2020.

Walaupun beliau seperti sudah mengeluarkan segalanya ketika saingan Euro lalu, namun Barella masih tetap mampu kekalkan tahap persembahan terbaiknya bersama skuad Inter Milan pada musim ini.

Bukan hanya mampu mengekalkan tahap persembahan yang sama, beliau bahkan telah mempamerkan peningkatan yang mendadak dalam aksinya pada musim ini.

Dari 17 penampilan dalam saingan Serie A, beliau sudah berjaya mencatatkan lapan assists dalam membantu Inter Milan untuk berusaha mempertahankan gelaran Serie A.

2. Leon Goretzka – Bayern Munich

Pemain central midfielder Bayern Munich, Leon Goretzka merupakan antara nadi terpenting untuk gergasi Bundesliga itu.

Beliau telah menunjukkan peningkatan yang mendadak dari segi fizikalnya dan kelebihan itu dimanfaatkan dengan baik untuk menjadikan beliau sebagai pemain midfield yang sangat dominan.

Goretzka dilihat lebih tenang dan beliau pada ketika ini sedang benar-benar berada di tahap persembahan terbaik sepanjang kariernya.

Pemain kebangsaan Jerman itu merupakan seorang midfielder yang sangat versatile, pantas dan sangat tahu bagaimana untuk memenangi duels.

Beliau berjaya membaca garis hantaran dengan baik dan sentiasa berada di kawasan yang tepat untuk melakukan pintasan.

Goretzka juga dianggap sebagai mesin pressing terbaik Bayern Munich sepanjang tahun ini, dan beliau juga konsisten memainkan peranan penting dalam membantu kelab mencari gol penting.

Goretzka sudah berjaya menjaringkan dua gol dan turut mencatatkan dua assists sepanjang musim ini dan beliau dijangka akan mampu menambah baik rekod itu sebelum berakhirnya musim 2021/22 ini.

1. Ilkay Gundogan – Manchester City

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola sememangnya senantiasa memberi keutamaan kepada pemain midfield dalam skuadnya.

Beliau tidak akan menerima seorang pemain yang hanya tahu untuk menyerang dan bertahan, sebaliknya beliau mahu pemain yang versatile dan boleh memberi impak seperti yang diharapkan.

https://twitter.com/AP10ii/status/1473041569980821511?t=zA3ByB_QQ5jrfsAurCeoZA&s=19

IIkay Gundogan ditandatangani dari Borussia Dortmund pada tahun 2016 yang lalu dengan beliau merupakan antara pemain pertama yang ditandatangani oleh Pep Guardiola di Etihad.

Pemain kebangsaan Jerman itu bergelut dengan beberapa siri kecederaan sepanjang lima tahun kariernya bersama The Citizens, namun beliau tidak pernah kehilangan sentuhan emasnya yang sentiasa membantu beliau untuk terus bersinar.

Gundogan muncul sebagai pemain box-to-box midfielder terhebat sepanjang tahun ini dengan beliau merupakan nadi penting yang membantu City menjuarai saingan Premier League musim lalu.

Gundogan sangat dominan di tengah padang dengan beliau aktif terlibat ketika Man City melancarkan serangan dan sentiasa ada ketika membantu barisan bertahan menyerap asakan lawan.

Pada suku pertama musim lalu, beliau berjaya menjaringkan 11 gol untuk Manchester City dan kerana itu jugalah beliau dianggap sebagai pemain terpenting sebalik kejayaan The Citizens muncul Juara.

Musim ini juga beliau turut mempamerkan aksi persembahan yang menakjubkan, dengan beliau kini sudah berjaya menjaringkan tiga gol dan mencatatkan empat assists dalam semua pertandingan untuk Man City.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN