Jika disebut mengenai Luka Modric, pastinya semua penyokong fanatik bola sepak mengenali susuk tubuh ini yang sentiasa menjadi jeneral utama di atas padang ketika beraksi.
Siapa sangka, pemain kelahiran Croatia ini sudah pun menginjak usia 37 tahun dan tidak ada tanda-tanda untuk memperlahankan karier beliau selaku pemain bola sepak profesional di peringkat tertinggi.
💃 ¡Menuda pareja de baile! 💃 pic.twitter.com/KcSijkIVNt
— Real Madrid C.F. (@realmadrid) September 9, 2022
Terbaharu, aksi beliau bersama Real Madrid ketika dalam saingan UEFA Champions League baru-baru ini sewaktu bertemu Celtic jelas mendapat pujian ramai pemerhati bola sepak.
Jaringan gol menarik yang diledak beliau ketika itu mendapat sorakan yang sangat gemuruh daripada para penyokong di Celtic Park selain aksinya masih memukau.
Musim lalu, Modric telah terlibat dalam 45 permainan secara keseluruhan bersama Real dalam saingan La Liga dan menjulang kejuaraan Champions League bersama kelab tersebut.
Celtic fans applauding Modric 👏 pic.twitter.com/HSF7qlwWgG
— 🆉🅸🆉🅾🆄 (@zi_46) September 6, 2022
Jadi, apa yang membuatkan juara Ballon d’Or 2018 berjaya mengekalkan konsistensi dirinya sehingga kini?
Menurut Modric, tidak ada begitu banyak perbezaan rutin yang dibuat beliau setiap hari berbanding pemain lain untuk terus kekal relevan selaku pemain bola sepak profesional.
“Ramai yang bertanya mengenai rahsia diri saya untuk terus kekal aktif, tetapi secara jujurnya, saya sendiri pun tidak tahu untuk menjelaskan.
“Ianya mungkin hadir secara semulajadi, seharian hidup saya hanya diserahkan untuk sukan bola sepak. Itu paling penting.
“Saya sayangkan sukan ini, dan sentiasa menikmatinya selain sedar saya berada pada usia yang semakin sukar untuk mengekalkan prestasi terbaik seperti dulu.
“Mungkin sebab saya sedar faktor umur ketika ini dan menyebabkan saya sentiasa menikmati dengan sepenuhnya sekarang bersama pasukan.
“Kerana, saya tak tahu sehingga bila khidmat ini masih lagi diperlukan oleh pasukan untuk masa hadapan. Saya cuba untuk terus nikmati dengan baik pada sesi latihan dan perlawanan rasmi bersama kelab. Dan, semua itu membantu saya dengan baik pada umur ketika ini,” jelas Modric menerusi Sport Bible.
Pemain kebangsaan Croatia itu turut berkongsi mengenai rutin harian, latihan gimnasium diamalkan, serta diet beliau kepada media.
https://twitter.com/woniwroos/status/1568097861258326025?s=21&t=25Y-24bxJVIJLZ3a8L8OwA
“Contohnya hari ini, saya datang sejam suku lebih awal sebelum sesi latihan rasmi bermula dan sentiasa memulakan sarapan pagi di pusat latihan.
“Saya melakukan beberapa rutin latihan di gimnastik dan ia berjaya memanaskan badan saya sebelum sesi latihan sebenar bermula.
“Dalam sesi latihan, adakala ianya ringan dan sesekali ianya agak berat berbanding biasa. Disebabkan itu, saya sentiasa merujuk kepada fisio untuk memenuhi segala diperlukan oleh pasukan.
“Selepas sesi latihan, saya balik dan terus luangkan masa bersama anak serta keluarga. Hampir setiap hari saya mengambil anak-anak pulang daripada sekolah,” tambah Modric.