Penyerang Barcelona, Luis Suarez beranggapan peluang The Blaugrana untuk dinobatkan selaku juara kempen La Liga buat kali ke-27 begitu sukar untuk direalisasikan jika melihatkan kepada kedudukan mereka pada ketika ini.
Ketika aksi hanya berbaki dua perlawanan sahaja lagi untuk ditamatkan, Barcelona ketinggalan empat mata di belakang musuh tradisi, Real Madrid yang mengumpul 83 mata.
Skuad bimbingan Zinedine Zidane itu akan berhadapan dengan Villareal dan Leganes pada dua aksi terakhir manakala Barcelona pula bakal bertemu Osasuna di Nou Camp dan bertandang ke Mendizorroza untuk menentang Alaves.
Jika dilihat kepada prestasi semasa dan perkiraan di atas kertas, Real Madrid tampak lebih berpeluang cerah untuk menamatkan rentetan kejuaraan dua musim berturut-turut yang diraih Barcelona.
Sehubungan dengan itu, Suarez turut merasakan segalanya seakan-akan sudah hampir berakhir buat kelabnya untuk memburu kejuaraan liga musim ini.
”Sekiranya anda perlu untuk jujur, [perebutan juara] liga sudah hampir mustahil,” ujar Suarez menurut laporan yang dikeluarkan Goal.
”Amat jelas aksi bertemu Sevilla adalah perlawanan yang membuatkan semuanya menjadi sukar buat anda. Kami mempunyai pilihan untuk terus mara ke hadapan.”
”Perlawanan tersebut begitu penting tetapi aksi menentang [Celta] Vigo juga penting. Kami telah kehilangan peluang terbesar kami.”
”Sekiranya kami berjaya menewaskan Celta, kami akan bertambah baik ketika bertemu Atletico. Tamparan hebat adalah ketika di Vigo, gol pada lewat permainan oleh Aspas. Ia menyakitkan.”
”Sekarang kami perlu menamatkan musim ini dengan baik dan bersedia untuk saingan Liga Juara-Juara Eropah,” tambah Luis Suarez lagi.
Perjalanan berbeza dinikmati Real Madrid walaupun memulakan kembali saingan dengan ketinggalan dua mata apabila Los Blancos mencatatkan sembilan kemenangan berturut-turut untuk kini sedikit selesa berada di puncak La Liga.
Kredit featured image: TF-Images/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Luis Suarez: