Sejurus kekalahan 2-3 Barcelona di tangan Atletico Madrid pada aksi separuh akhir Supercopa de Espana awal pagi tadi, Luis Suarez tampil bagi mempertahankan pengurus pasukan, Ernesto Valverde.
Penyerang kelahiran Uruguay itu beranggapan Valverde tidak seharusnya menjadi individu yang dipersalahkan atas kekalahan tersebut.
Kelebihan 2-1 dimiliki The Blaugrana pada aksi yang berlangsung di King Abdullah Sports City itu tidak mampu dipertahankan apabila Atletico Madrid berjaya mencipta dua jaringan pada 10 minit terakhir menerusi Alvaro Morata dan Angel Correa sekaligus menghampakan gergasi bola sepak Sepanyol tersebut.
Kekalahan yang dialami mengakibatkan kedudukan Valverde selaku pengurus Barcelona juga dilihat semakin tergugat.
Ia turut dipengaruhi rasa tidak puas hati yang sudah lama dipendam penyokong terhadap pengurus berusia 55 tahun itu.
”[Ernesto Valverde] tidak boleh dipersalahkan, kesilapan daripada kami dan kami tidak mampu menewaskan mereka [Atletico Madrid].”
”Saya tidak tahu jika kekalahan ini akan membantu kami untuk berkembang tetapi kekalahan ini memperlihatkan perkara yang perlu diperbetulkan.”
”Ia menunjukkan kepada kami bahawa terdapat kesilapan yang tidak boleh dilakukan kerana kami telah mengawal permainan dan kami membenarkan mereka untuk menghukum pasukan dengan serangan balas pantas,” ujar Suarez kepada wartawan selepas perlawanan.
Dalam pada itu, Antoine Griezmann turut senada dengan Suarez apabila mengakui kesilapan pada perlawanan bertemu bekas kelabnya itu adalah berpunca daripada para pemain sendiri.
”Saya rasa kami kalah kerana kesilapan sendiri.”
”Ia menghukum kami dan kami perlu lebih bekerja keras untuk meneruskannya.”
Kredit foto: Ricardo Nogueira/Eurasia Sport Images/Getty Images