Luis Suarez menegaskan bahawa rakan sepasukannya, Lionel Messi adalah pemain berpengaruh yang sentiasa memberi impak kepada Barcelona.
Sebagai pemain yang bermain di posisi serangan, sudah tentu Suarez amat memahami kualiti yang dimiliki Messi dalam pasukan.
Sehubungan dengan itu, tidak hairanlah jika Suarez mengatakan bahawa dunia bola sepak akan menjadi sulit apabila Messi memutuskan untuk bersara sebagai pemain bola sepak.
Pemenang Ballon d’Or lima kali ini telah merekodkan jumlah jaringan sebanyak 597 dalam 681 penampilan untuk semua pertandingan.
Tidak hanya terkenal sebagai pencetak gol terulung, Messi juga turut mencatatkan rekod bantuan gol yang cukup memberangsangkan. Setakat ini, beliau telah melakukan sebanyak 239 bantuan gol secara keseluruhan.
Impak Messi
Suarez adalah salah seorang pemain yang dapat merasakan kesan positif Messi. Beliau sudah bermain bersama Messi selama lima tahun dan bekas penyerang Liverpool itu mengakui sering dikejutkan dengan ‘aksi’ Messi ketika dalam perlawanan.
“Kadang-kadang saya mula berlari dengan kepala saya tertunduk dan secara tiba-tiba bola berada di hadapan saya, dan saya fikir: Bagaimana dia meletakkan bola di sini? Bagaimana dia tahu bahawa saya akan berada di sana?” kata Suarez menerusi Dailystar.
Kata Suarez lagi, “Atau saya akan menunggu bola dan kembali ke gawang [lawan] dengan tiga pemain di antara kami, dan saya fikir: Saya akan bergerak kerana bagaimana dia dapat memberi saya bola di sini?”
“Dan dia berjaya menghantarkan bola ketika saya sudah tidak berada di sana. Saya bergerak secara bodoh [tidak berfikir] kerana ragu adakah dia boleh menemui saya. Ada ribuan momen seperti itu.”
Bola sepak tanpa Messi
Suarez turut ditanyakan soalan apakah akan berlaku jika bola sepak tanpa Messi suatu hari ini.
Beliau menjawab,”Itu adalah sesuatu yang sukar digambarkan.”
“Tetapi perkara yang baik bagi kami semua yang bekerja dalam dunia bola sepak pada hari ini ialah kita berada di sini untuk menyaksikan aksi [Messi] dan terus menikmatinya”.
Messi sekali lagi akan menjadi taruhan buat skuad Ernesto Valverde untuk berdepan Liverpool pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara yang dijadualkan akan berlangsung pada 2 Mei ini.