Pasukan Kebangsaan Sepanyol akhirnya mengumumkan secara rasmi pelantikan Luis Enrique sebagai ketua jurulatih baharu menggantikan Julen Lopetegui yang dipecat sebelum bermulanya kempen Piala Dunia 2018 yang lalu.
Legenda Real Madrid, Fernando Hierro kemudiannya dilantik sebagai pemangku tugas tersebut di Rusia yang menyaksikan Sepanyol hanya mampu mara ke pusingan 16 terbaik.
Enrique yang sudah sebati dengan corak permainan bola sepak Sepanyol merupakan individu paling layak berada di kerusi panas itu pada hari ini.
Selepas pengumuman tersebut, Enrique lantas memaklumkan kepada sidang media bahawa beliau bertekad untuk memperbaiki pasukan tersebut sekaligus mahu mengembalikan semula kehebatan skuad La Roja di setiap kejohanan peringkat antarabangsa.
Namun, pelatih berusia 48 tahun itu bakal berdepan tugas sukar memandangkan skuad Sepanyol ketika ini sedang mengalami situasi terburuk selepas kejayaan mereka menjuarai Piala Eropah pada tahun 2012.
Sejak menjuarai Piala Dunia 2010 dan Piala Eropah 2012, Sepanyol gagal menjulang sebarang kejuaraan sehingga hari ini.
Sudah tentu, kehadiran Enrique amat ditagih untuk mengembalikan semula kehebatan pasukan itu sehingga pernah digeruni pasukan lawan satu ketika.
Apabila ditanya apakah tindakan pertama yang beliau akan lakukan untuk pasukan. Ini penjelasan beliau.
“Tidak akan ada revolusi tetapi lebih kepada evolusi. Tidak kira siapa pemain baru yang akan datang, kita perlu memberi keyakinan kepada mereka dan kita harus bersikap adil kepada semua orang.”
Bercakap mengenai kegagalan Sepanyol di Rusia, Enrique tetap mempertahankan pemain-pemain Sepanyol walaupun mereka gagal membantu pasukan pada kejohanan tersebut.
Beliau sebagai berkata, “Saya tidak berminat untuk bercakap soal kegagalan. Tetapi saya akui keputusan yang lalu amat tidak baik. Namun, kita harus berhutang budi kepada mereka semua.”
“Di sebalik pemain yang kami (Sepanyol) pernah miliki sebelum ini, kami telah berjaya memenangi tiga kejohanan utama.
“Apabila gagal mengulanginya semula, ini menunjukkan betapa sukar untuk memenanginya.”
“Kami akan melihat menilai semula setiap individu dan menganalisis apa yang terbaik untuk masa depan pasukan kebangsaan.”