Pengurus Borussia Dortmund, Lucien Favre mengakui pengalaman sulung beraksi dengan norma baharu dalam saingan Bundesliga malam tadi adalah sesuatu yang luar biasa buatnya.
Perlawanan bertemu Schalke 04 di Signal Iduna Park yang berkesudahan dengan kemenangan 4-0 buat Borussia Dortmund itu menyaksikan amalan penjarakan sosial dipraktikkan seperti tiada keraian jaringan dengan kontak rapat dan banyak lagi.
Favre yang jelas gembira dengan kejayaan anak buahnya melakarkan permulaan cemerlang mengakui norma baharu tersebut adalah sesuatu yang di luar kebiasaan dalam bola sepak terutamanya ketika beraksi tanpa penyokong.
”[Menang] 4-0 bertemu Schalke adalah sangat bagus. Kuncinya adalah pasukan ini bermain dengan cukup baik, juga ketika bertahan. Ia adalah sangat, sangat istimewa.”
”Anda melakukan percubaan ke arah pintu gol lawan, melakukan hantaran berkualiti tinggi dan seterusnya gol – dan seperti tiada apa yang berlaku. Kami sangat merindui kehadiran para penyokong kami,” ujar Favre menurut laporan Goal.
”Perlawanan ini [malam tadi] merupakan sesuatu yang sangat berbeza berbanding kebiasaan. Sangat sukar untuk menilai bagaimana baiknya corak permainan kami.”
”Saya dapat merasakan ia tidak berjalan seperti yang dirancang. Para pemain saya begitu fokus terhadap tugasan mereka,” ujar Lucien Favre lagi.
Pada perlawanan yang bergelar Revierderby itu, Raphael Guerreiro berjaya menjaringkan dua gol manakala Erling Haaland dan Thorgan Hazard masing-masing menyumbangkan satu jaringan.