Pengarah Sukan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Martin Prest sebentar tadi mengumumkan penyerang import skuad itu, Luciano Figueroa akan digantikan dengan penyerang baharu yang akan diperkenalkan tidak lama lagi.
Pengumuman itu dibuat melalui laman facebook rasmi JOHOR Southern Tigers (JST) dan mereka yakin pemain tersebut akan membantu mempertingkatkan lagi prestasi JDT selepas ini.
Walaubagaimanapun, Martin menjelaskan Luciano akan kekal dalam latihan bersama pasukan selain beperanan sebagai duta dan pegawai motivasi untuk JDT.
Semalam, JST mengumumkan kedatangan bekas pemain Melbourne City, Harry Novillo ke kelab itu bagi menggantikan Pereyra Diaz yang telah meninggalkan pasukan itu bulan lepas.
Martin Prest menanggap Novillo sebagai pemain muda yang dahagakan sesuatu dan memilih JDT kerana kelab tersebut adalah kelab yang paling berkembang, paling bercita-cita dan bersungguh-sungguh di Asia Tenggara.
“Kelab ini berasa sukacita dan gembira untuk memiliki pemain yang berkaliber, pemain muda yang dahagakan sesuatu pencapaian terbaik, serta ingin menjadi sebahagian daripada kelab yang paling pesat berkembang, paling bercita-cita dan bersungguh-sungguh di Asia Tenggara.”
“Sekali lagi, kami ingin mengalu-alukan kehadiran Harry Novillo bersama Keluarga JDT. Bersama-sama kita akan mencipta sejarah.” kata kenyataan daripada Martin Prest.
Novillo membantu Melbourne City ke semifinal A-League buat pertama kali dalam sejarah mereka. Namun Melbourne City tewas di tangan juara musim 2015/16 Adelaide United.
Beliau tersenarai dalam kesebelasan terbaik A-League musim 2015/16 dengan 11 gol dan 4 bantuan gol. Harry Novillo kemudian meninggalkan Melbourne City dan menyertai Manisaspor pada Jun 2016. Beberapa siri kecederaan menghalang beliau untuk bermain secara kerap. Akhirnya, kini Novillo menyertai Kelab Baniyas di Liga UAE.