“He comes from Uruguay, He’s only five foot high.”
Itulah antara bibit-bibit nyanyian atau chant oleh penyokong Arsenal khusus untuk Lucas Torreira, pemain tengah dari Uruguay yang tiba di Emirates pada musim panas lalu.
Masa berlalu dengan pantas sekali. Jika apa yang berlaku pada lapan tahun lalu diambil kira, segalanya mungkin berbeza buat Torreira pada hari ini.
Kisah silam yang tiada nasib
Lapan tahun lalu, Torreira meninggalkan pekan kecil Fray Bentos yang terletak di hujung sempadan Argentina-Uruguay untuk menuju bandar besar, iaitu Montevideo.
Beliau hanya berusia 14 tahun ketika itu, dan tujuan ke Montevideo ialah untuk menyertai skuad remaja Penarol dalam usaha mengejar kontrak profesional.
Penarol bukan sekadar kelab besar yang terletak di sebuah bandaraya besar di Uruguay. Bagi Torreira ia juga menjanjikan masa depan dan peluang besar demi mengejar impian.
Masalahnya ialah Torreira tidak mengetahui polisi kelab yang tidak lagi menyediakan penginapan untuk pemain muda seperti beliau.
Ia menjadi masalah besar buat Torreira yang berusia 14 tahun kerana tidak mempunyai wang, walaupun untuk membiayai tambang mengharungi perjalanan 200 batu untuk kembali ke Fray Bentos.
Institución Atlética 18 de Julio
Institución Atlética 18 de Julio ialah kelab pertama yang disertai oleh Torreira ketika zaman kanak-kanak.
Menyedari masalah yang dihadapi oleh pemain muda itu di Montevideo, 18 de Julio berusaha membawa kembali beliau ke Fray Bentos.
“Kami mengutip dana di kalangan pengarah kelab untuk mengurus kewangan dan kertas kerja yang diperlukan untuk membawa kembali Lucas [Torreira],” ujar Koordinator kelab, Hugo Ruiz kepada The Telegraph satu ketika dahulu.
“Apabila beliau kembali menyertai skuad B-15 kami, saya masih ingat riak wajah beliau. Ia mengandungi emosi betapa beliau menghargai usaha kami, dan dicampur dengan pelbagai jenis emosi lain yang saya masih lihat pada hari ini,” tambah beliau lagi.
Apa yang dilakukan oleh 18 de Julio pasti akan dikenang oleh Torreira sehingga ke akhir karier beliau.
Malah pemain itu turut mengabadikan tattoo dengan logo 18 de Julio di kaki sebelah kanan beliau, sebagai tanda penghargaan di mana segalanya bermula buat pemain itu.
Tidak putus asa
Faktor nasib mungkin menjadi faktor percubaan pertama Torreira untuk mengejar impian menjadi pemain profesional tidak berjaya.
Tetapi anak muda ini tidak mengenal erti putus asa. Tiga tahun kemudian, beliau kembali ke Montevideo untuk mencuba nasib sekali lagi.
Kali ini Torreira menyertai Montevideo Wanderers, dan tinggal bersama kakak beliau yang bekerja di salah sebuah pusat membeli belah di bandaraya tersebut.
Setiap hari ketika turun ke padang latihan, Torrerira akan membawa satu bekas plastik, untuk membawa bekalan makanan sebagai alas perut dan sebagai langkah berjimat.
Nasib menyebelahi untuk Pescara
Kisah Torreira menyertai Pescara, sebuah kelab Serie B Itali juga bagaikan satu cerita dongeng.
Menurut bekas pengendali di Montevideo Wanderers, Marcelo Piriz, hanya lima pemain dari peringkat usia berlainan dipilih untuk ke Itali untuk menjalani sesi percubaan dan Torreira bukan salah seorang dari mereka.
“Saya terus bercakap kepada koordinator kelab dan bertanya mengapa Lucas tidak berada di dalam senarai.
“Jawapan beliau ialah kerana saiz badan Torreira yang kecil dan pemain di Itali semuanya berbadan besar. Saya pantas menyangkal alasan tersebut, dan berkata Lucas tidak akan berhadapan masalah kerana saiz badan,” ujar Marcelo Piriz.
Malah Piriz yang melatih Torreira sepanjang pemain itu bersama Montevideo Wanderers berpendapat Torreira adalah pemain yang jauh lebih baik dari pemain-pemain lain yang terpilih.
Mungkin kerana perbualan tersebut, akhirnya Torreira turut tersenarai untuk ke Pescara.
Pemain sayap yang handal bertahan
Pemergian Torreira ke Itali jelas tidak disia-siakan pemain tersebut yang sudah menjangkau usia 17 tahun pada ketika itu.
Keupayaan beliau pantas mencuri perhatian pasukan pencari bakat di Pescara.
“Antara keupayaan Torreira yang mengkagumkan kami ialah keupayaan beliau mengawal bola di ruangan sempit di kalangan pemain pertahanan lawan.
“Beliau juga mempunyai kemahiran teknikal tinggi, dan tajam dalam mencari penyudah.
“Tetapi menariknya, pemain ini turut mempunyai bakat semulajadi melakukan tugas bertahan,” ujar Druda.
Keupayaan Torreira di hadapan gawang bukan sesuatu yang menghairankan. Sepanjang beraksi bersama 18 de Julio dan Montevideo Wanderers, Torreira beraksi sebagai pemain sayap, atau pun sebagai penyerang kedua pasukan.
Bakat terpendam
Kebolehan bertahan milik Torreira sebenarnya dikesan oleh Massimo Oddo, bek kanan yang membantu Itali menjuarai Piala Dunia pada 2006.
Percaya kepada kebolehan Torreira, Oddo menjelaskan perancangan beliau kepada pemain itu.
“Jika anda mahu terus beraksi sebagai pemain sayap atau penyerang, paling jauh anda akan pergi ialah di Serie C Itali.
“Saya mahu mencuba anda beraksi di posisi lain, iaitu sebagai pemain tengah yang beraksi di hadapan pemain pertahanan,” ujar Oddo kepada Torreira.
Maka bermulalah program transformasi terhadap Torreira, iaitu untuk mengubah posisi beliau daripada seorang flanker, kepada seorang destroyer di posisi tengah.
Torreira adalah jenis pemain yang mempunyai iltizam untuk menjadi pemain bola sepak berkelas dunia.
Jika anda menerangkan pergerakan taktikal kepada beliau, itu akan menjadi amalan beliau sampai bila-bila. Itulah yang disifatkan oleh Oddo terhadap Torreira yang turut diklasifikasikan oleh beliau sebagai pemain yang bijak membaca arah permainan.
Pembangunan Torreira selepas itu sangat cepat. Beliau kemudiannya menyertai Sampdoria pada 1 Julai 2015 dengan nilai £1.5 juta, dan melakukan debut di Serie A menentang Empoli pada 21 Ogos 2016.
Pada musim panas lalu, Torreira dibawa oleh Unai Emery ke Emirates dengan nilai £26 juta dari kelab Serie A Itali itu.
‘Destroyer’ yang memberi kestabilan kepada The Gunners
Ada sebab Lucas Torreira digelar sebagai ‘destroyer’ di kalangan pemain tengah yang ada di dalam pasukan Arsenal.
Sebelum ini Arsenal dikenali sebagai sebuah pasukan yang mengamalkan corak permainan menyerang yang menarik, berteraskan fluidity dalam hantaran mereka.
Tetapi pasukan ini sering dikecewakan oleh bahagian benteng pertahanan yang sering kali rapuh.
Pada musim ini, Torreira telah beraksi selama 548 minit bersama The Gunners, tidak termasuk aksi menentang Leicester City pada hujung minggu lalu.
Dalam tempoh itu, Arsenal telah menjaringkan 20 gol, dan hanya dibolosi tiga kali.
Baki 442 minit aksi tanpa Torreira musim ini, Arsenal hanya mampu menjaringkan sembilan gol dan dibolosi 10 kali.
Data di atas bukan kebetulan. Kualiti Torreira boleh dilihat ketika aksi beliau menentang Fulham di Craven Cottage. Pemain ini melakukan sejumlah pintasan, dan memenangi kembali penguasan bola jauh lebih kerap berbanding rakan sepasukan yang lain.
Dari segi ketepatan hantaran, hanya Granit Xhaka yang tampil dengan rekod lebih baik musim ini.
Jumlah pintasan dan halangan untuk mematahkan serangan lawan secara konsisten menyebabkan beliau digelar ‘destroyer’.
Rumusan
Tidak syak lagi Torreira adalah ibarat blok yang hilang selama ini di dalam pasukan Arsenal.
Torreira bagaikan penemuan baru yang mengujakan mana-mana penyokong Arsenal, atau pun lawan yang kagum akan kebolehan taktikal beliau dalam permainan.
Arsenal masih lagi sebuah pasukan di dalam pembikinan pada musim pertama Unai Emery mengendalikan pasukan ini. Satu perkara yang pasti ialah Lucas Torreira akan menjadi sandaran Emery dan Arsenal pada musim-musim akan datang.