Pemain tengah, Lucas Paqueta percaya AC Milan boleh menjadi platform terbaik buat pemain muda kelahiran Brazil seperti dirinya untuk mengorak langkah menjadi bintang bola sepak terkenal dunia seperti Ricardo Kaka.
Paqueta, 21 tahun yang turut dikenali sebagai ‘New Kaka’ kerana kelincahannya dibahagian tengah pasukan kini sedang mencipta nama bersama AC Milan.
New Kaka
AC Milan berjaya mendapatkan khidmat Paqueta dari Flamengo dengan mencatatkan rekod pembelian termahal kelab itu selepas bersetuju membuat bayaran sebanyak AS$40.4 juta (RM168 juta) pada Oktober 2018.
Paqueta bersetuju dengan kontrak selama lima tahun bernilai AS$1.7 juta (RM7.07juta) untuk berpindah ke San Siro.
Perpindahan Paqueta dari Brazil ke Itali hanya boleh dilengkapkan pada Januari selepas jendela perpindahan pertengahan musim dibuka.
Mahu jadi seperti Kaka
Bercakap mengenai keterujaannya menyertai AC Milan, Paqueta akui dirinya amat bertuah kerana dapat mengikut jejak beberapa pemain hebat menyertai kelab terbaik dunia itu.
Menurut Paqueta, beliau juga mengakui dirinya mengimpikan untuk menjadi pemain hebat di San Siro seperti yang pernah dilakukan oleh Kaka satu ketika dahulu.
“Kaka adalah salah seorang idola saya dan impian saya adalah melakukan yang terbaik di Milan seperti yang dilakukan Kaka.”
“Walaupun ianya tidak adil untuk membuat perbandingan, antara kami berdua. Saya ingin melakukan tugas saya dengan sebaik mungkin [di AC Milan)].” tegas Paqueta.
Paqueta mendapat panggilan pertama menyertai skuad Brazil pada Ogos lalu bagi aksi persahabatan dengan Amerika Syarikat dan El Salvador.
Sebelum menyertai AC Milan, beliau sebelum ini turut menjadi sasaran beberapa kelab besar seperti, Barcelona, Liverpool, Paris Saint-Germain dan Manchester City.