Lucas Leiva Umum Persaraan Selepas Disahkan Menghidap Penyakit Jantung

Bekas bintang Liverpool, Lucas Leiva mengumumkan persaraannya dari dunia bola sepak selepas beliau disahkan menghidap penyakit jantung dan hal itu benar-benar membuatkan beliau begitu beremosi.

Bintang berusia 36 tahun itu kembali ke kelab pertamanya, Gremio pada tahun lalu selepas beliau menghabiskan lima tahun kariernya bersama gergasi Serie A, Lazio.

Ketika sedang menjalani latihan pada pra-musim pada Disember lalu, Lucas terpaksa diketepikan selepas beliau disyaki mempunyai masalah melibatkan jantungnya.

Selepas beliau benar-benar disahkan memiliki masalah jantung, petugas kesihatan kelab menasihati beliau supaya berhenti dari dunia bola sepak kerana ia sangat berisiko untuknya.

Memikirkan segala nasihat yang diterima, Lucas Leiva akhirnya memutuskan untuk bersara terus dari dunia bola sepak dan beliau kini tidak akan lagi beraksi sebagai pemain profesional.

Bercakap ketika sesi sidang media semalam, Lucas Leiva mendedahkan bahawa:

“Ia merupakan tempoh yang sangat sukar. Saya rasa ini merupakan kali pertama saya menangis kerana hal ini.”

Lucas kemudiannya menambah lagi dengan menyatakan bahawa:

“Tapi saya hanya mampu ucapkan terima kasih. Saya akhiri di mana saya mahu, bukan cara bagaimana saya mahu. Saya yakin kitaran baru akan bermula. Saya sangat berharap sebaliknya akan berlaku, tapi ia tidak berlaku. Kesihatan saya lebih penting.”

Menulis di media sosial, pemain midfield itu turut menyatakan bahawa:

“Waktunya sudah tiba untuk ucap selamat tinggal. Saya akui yang ia beban yang sangat besar, tapi bila fikir semula, saya sangat bersyukur atas karier yang saya bina.”

“Pada tahun 2007 saya berpindah menyertai kelab gergas, Liverpool, yang mana ia jadi sebahagian dari hidup saya selama 10 tahun. Dan ia satu kebanggaan untuk saya pada hari ini menyatakan yang Liverpool adalah rumah saya.”

“Saya bersama keluarga saya berbangga menjadi penduduk England dan kami adalah Scouser!”

Leiva membuat 346 penampilan bersama Liverpool sepanjang 10 tahun kariernya bersama gergasi Premier League itu.

Beliau berjaya mendapatkan pingat League Cup bersama Liverpool pada tahun 2012 yang lalu dan turut menjadi nadi penting yang membawa The Reds ke pentas perlawanan akhir saingan Europa League pada tahun 2016 yang lalu.

Bagi menghormati persaraan Leiva, Presiden Gremio, Alberto Guerra tampil memuji bekas bintang Liverpool itu dan menganggap beliau sebagai seorang ketua yang dihormati ramai.

“Saya sudah sediakan ucapan yang indah, tapi saya tak tahu kalau saya mampu atau tidak untuk meluahkan segalanya.”

Jelas Guerra.

“Saya mahu ucapkan tahniah atas kejayaan kariernya. Saya sangat gembira untuk melihat kamu bakal menjalani kehidupan yang normal. Dan saya bercakap ini sebagai wakil kepada semua Gremistas.”

“Kerana itulah semua orang sedih sekarang kerana kamu adalah ketua yang menakjubkan di bilik persalinan dan semua orang sangat menghormati kamu.”

Leave a Reply