Luca Toni merupakan wajah yang tidak asing dalam bola sepak Itali. Pemain veteran ini masih mempunyai sesuatu untuk diberikan kepada kelabnya apabila menjadi penjaring terbanyak bersama Serie A pada musim 2014/2015.
Namun pada musim 2015/2016, kempen Serie A Luca Toni bersama Hellas Verona bertukar menjadi ‘musim terburuk dalam kariernya’. Dan kerana itu, Toni mengambil keputusan untuk bersara pada 4 Mei 2016.
Permulaan karier
Toni memulakan kariernya bersama Modena pada 1994.
Selepas itu beliau banyak menghabiskan awal kariernya bermain di beberapa kelab di Serie B dan Serie C antaranya Empoli dan Lodigiani.
Pada 2000, Toni ke Vicenza untuk merasai bola sepak Serie A buat pertama kalinya.
Semusim selepas itu, beliau berpindah pula Brescia untuk bergandingan dengan pemain seperti Roberto Baggio dan Pep Guardiola.
Selepas dua musim berada di Brescia, Toni mengambil keputusan untuk turun ke Serie B untuk membantu pasukan Palermo.
Ternyata Toni memberi impak yang besar, 30 gol pada musim pertama membawa Palermo ke Serie A selepas 30 tahun.
Dan Palermo terus terbang tinggi hasil impak daripada Toni dengan 20 gol darinya membantu Palermo memperoleh tempat di UEFA Cup (kini Europa League) pada musim pertama mereka di Serie A.
Toni juga mendapat aksi antarabangsa pertamanya bersama Itali ketika berada di Palermo.
Kemuncak karier
Selepas menjadi wira di Palermo, Toni berpindah ke Fiorentina dengan harga 10 juta Euro.
Toni dianggap pembelot oleh peminat Palermo, namun tidak menghalangnya untuk terus menyinar di Florence.
Toni menjaringkan 31 gol dan dianggap sebagai antara penyerang terbaik sepanjang zaman di Serie A. Dan kerana itu juga, Toni memenangi Anugerah Kasut Emas Eropah dan menjadi pemain Itali pertama yang memenanginya.
Selepas dua tahun di Fiorentina, Toni berhijrah ke Bayern Munich. Perpindahannya dikaitkan dengan penglibatan Fiorentina dengan skandal rasuah yang melanda Serie A pada 2006.
Faktor lain adalah kerana Toni berjanji untuk tidak bermain dengan mana-mana gergasi bola sepak Itali selain Fiorentina.
Di Bayern, Toni sekali lagi menjadi penjaring terbanyak liga dengan menjaringkan 24 gol pada musim pertamanya.
Beliau memenangi gelaran Bundesliga dan menjadi wira di perlawanan akhir Piala Jerman, menjaringkan 2 gol untuk membantu Bayern menang 2-1 ke atas Borrusia Dortmund.
Pada musim seterusnya, Toni mengalami kecederaan yang agak serius namun beliau tetap menjadi penjaring terbanyak Bayern dengan 14 gol walaupun sering disisihkan.
Toni juga pernah didenda oleh kelab selepas meninggalkan stadium selepas digantikan pada separuh masa.
Karier Toni di Munich berakhir selepas beliau mempunyai masalah dengan pengurus, Louis Van Gaal dan Presiden Bayern iaitu Uli Hoeneß.
Toni kemudiannya dipinjamkan ke AS Roma.
3. Kehidupan selepas Fiorentina & Bayern Munich
Toni bermain dibeberapa buah kelab selepas musim gemilangnya di Fiorentina dan Bayern Munich.
Bermula dengan AS Roma, beliau hadir sebagai pemain pinjaman dari Bayern Munich.
Selepas kontraknya ditamatkan oleh Bayern, Toni disambar oleh Juventus hasil perpindahan percuma. Di Juve, Toni menjaringkan gol ke-100 beliau di Serie A ketika menentang Cagliari hasil dari tandukan dari jarak 16 meter.
Toni juga menjadi pemain pertama yang menjaringkan gol di Stadium Juventus yang baharu ketika menentang Notts County.
Selepas Juventus, Luca Toni berhijrah ke Asia dengan menyertai Al Nasr pada penghujung Januari 2012.
Dan pada penghujung Ogos 2012, Toni kembali semula ke Fiorentina selama semusim.
Pada 2013, Luca Toni menyertai pasukan yang baru saja naik ke Serie A ketika itu iaitu Hellas Verona.
Pada musim pertama, Toni menunjukkan taringnya dengan menjaringkan 20 gol dan meletakkan beliau nombor 2 di carta penjaring terbanyak ketika itu.
Di musim seterusnya, Toni menunjukkan prestasi yang lebih baik dengan menjaringkan 22 gol untuk menjadikan beliau penjaring terbanyak liga bersama Mauro Icardi dari Internazionale seterusnya menjadi penjaring terbanyak tertua di Serie A.
Oleh kerana prestasinya yang begitu baik, majalah France Football meletakkan Toni di dalam senarai 10 pemain terbaik bagi yang berusia 36 tahun ke atas.
4. Karier bersama Itali
Luca Toni melakukan debut untuk Itali pada 18 Ogos 2004 ketika itu Itali tewas pada Iceland di tempat lawan dengan jaringan 2-0.
Pada 11 Jun 2005, Toni buat pertama kali mengetuai Itali dalam perlawanan menentang Ecuador kerana ketiadaan kapten Fabio Cannavaro dan beberapa pemain lain.
Dan pada 7 September, Toni mendapat hatrik pertamanya pada aksi kelayakan Piala Dunia menentang Belarus.
Satu-satunya penghargaan Toni di peringkat antarabangsa adalah ketika Piala Dunia FIFA 2006 di Jerman. Toni merupakan sebahagian dari skuad Azzuri yang menjulang kejuaraan dunia pada ketika itu.
Ketika itu, Toni menjaringkan 2 gol dan ia datang ketika perlawanan menentang Ukraine pada peringkat suku akhir.
Selepas itu, Toni mewakili Itali di kejohanan EURO di Austria dan Switzerland namun prestasinya tidak begitu baik. Toni juga gagal mewakili Itali di Piala Dunia FIFA 2010 di Afrika Selatan.
5. Penutup
Dengan berketinggian 1.92 meter, menjadikan Toni seorang penyerang yang cukup berbahaya kepada barisan pertahanan yang menentangnya.
Susuk tubuh fizikalnya serta ketinggian yang ada padanya membuatkan Toni seorang yang cukup bahaya pada situasi bola di udara.
Dengan 303 gol dari 647 penampilan, 1 gelaran liga dan piala nasional, 1 gelaran kasut emas Eropah serta 1 kejuaraan dunia dan pelbagai lagi pencapaian individu – Luca Toni boleh dikatakan antara pemain yang berjaya bagi mereka yang berkategori “late bloomer”.
Grazie Don Luca!