Bekas pengurus Manchester United, Louis van Gaal mengumumkan persaraan beliau daripada bola sepak.
Pengendali berusia 67 tahun itu menjuarai Piala FA ketika bersama United selama dua musim – setelah tiba di Old Trafford pada 2014 – mengumumkan persaraan beliau melalui siaran televisyen di Belanda.
Kejayaan lain
Antara kejayaan lain yang paling diingati ketika Van Gaal bergelar pengurus ialah kejuaraan UEFA Champions Legue pada 1995 bersama Ajax. Beliau turut memenangi dua kejuaraan La Liga bersama Barcelona selepas itu.
Pernah mengendalikan Bayern Munich, Van Gaal turut pernah bergelar juara Bundesliga sebanyak sekali – sebelum turut pernah dilantik sebagai pengurus skuad kebangsaan Belanda sebanyak dua kali.
Pencapaian terbaik bersama negaranya ialah kejayaan memimpin The Oranje menduduki tempat ketiga di Piala Dunia 2014.
Mahu masa bersama keluarga
Tidak boleh dinafikan, bola sepak menuntut pengorbanan – tanpa mengira posisi dan sumbangan anda.
Bercakap di siaran televisyen Dutch TV tersebut, Van Gaal berkata: “Saya adalah seorang pesara sekarang. Saya tidak ada niat untuk tampil sebagai pengarah teknikal atau pun penganalisis di TV.
“Isteri saya, Truus tidak meneruskan pekerjaan dan cita-cita beliau pada 22 tahun yang lalu semata-mata untuk mengikuti saya ketika di luar negara. Saya pernah berjanji akan berhenti bergelar jurulatih pada usia 55. Tetapi saya meneruskannya sehingga berusia 65.
“Beliau [isteri] selayaknya mendapat kehidupan bersama saya di luar bola sepak. Saya boleh katakan kini beliau gembira, walaupun saya berpendapat saya boleh lagi menyumbang sebagai pengarah teknikal.”
Penghargaan dari Old Trafford
Pengumuman oleh Van Gaal turut menarik perhatian dari Old Trafford – khususnya barisan pemain yang pernah dibimbing oleh pengurus dari Belanda ini.
Antaranya adalah Marcus Rashford yang diberikan debut di dalam skuad utama United oleh Van Gaal pada usia 18 tahun.
Thank you for opening the door & trusting in me. Enjoy retirement boss ?? pic.twitter.com/OqrEodNlz0
— Marcus Rashford (@MarcusRashford) March 11, 2019
“Terima kasih kerana telah membuka pintu itu dan percayakan saya. Selamat bersara boss.”
I’ll never forget the trust you had in me. I owe you so much. Thank you, boss! pic.twitter.com/NravJEELxr
— Jesse Lingard (@JesseLingard) March 11, 2019
Turut tidak ketinggalan untuk mengucapkan terima kasih adalah Jesse Lingard dan juga Anthony Martial – pemain muda yang tidak dikenali ketika dibawa masuk oleh Van Gaal.
Thanks for everything coach !! It was a honor to learn from you! ?? pic.twitter.com/G1dYi1UJv0
— Anthony Martial (@AnthonyMartial) March 11, 2019
Van Gaal tidak pernah kembali ke dalam bidang pengurusan bola sepak sejak meninggalkan Old Trafford pada 2016.