Beliau kini kembali!
Bekas pengurus Manchester United, Louis Van Gaal dijangka bakal kembali ke kancah pengurusan bola sepak selepas berehat panjang.
Menurut laporan di Belanda, Van Gaal dikhabarkan bersetuju untuk kembali semula ke skuad kebangsaan negara tersebut untuk kontrak selama 18 bulan.
Van Gaal bakal menggantikan Frank De Boer sebagai pengendali Belanda dengan misi getir yang perlu diharungi beliau adalah membawa negara itu ke Piala Dunia 2022.
De Boer gagal memberikan hasil yang diharapkan pada saingan Euro 2020 apabila pasukannya terkandas di peringkat suku akhir ditangan Republik Czech walaupun mereka menjuarai kumpulan C.
Van Gaal bakal kembali dan dijangka pengumuman rasmi akan dilakukan tidak lama lagi dengan beliau kini masih lagi berada di Portugal.
Dikhabarkan selepas tamat tugas bersama United, Van Gaal banyak menghabiskan masanya di Portugal.
Van Gaal dijangka akan membawa trio Danny Blind, Henk Fraser dan Franks Hoek sebagai pembantunya dengan cabaran sukar bakal menanti beliau.
Ujian pertama Van Gaal sebagai pengurus Belanda adalah dengan memastikan negaranya kembali di landasan sebenar untuk mara ke Piala Dunia 2022 apabila berdepan Norway dalam pusingan kelayakan.
Pasukannya sudah tewas ditangan Turki perlawanan terakhir kelayakan mereka sebelum ini dan satu lagi kekalahan bakal menyukarkan laluan Belanda ke Qatar.
Van Gaal sebelum ini pernah membawa Belanda ke kedudukan ketiga dalam saingan Piala Dunia 2014 di Brazil.
Baca juga artikel kami yang lain:
Kebenaran Buat Siaran Langsung Sendiri Beri ‘Nyawa’ Kepada Pasukan Liga Premier
VIDEO: Tonton Kesemua 10 Calon ‘Golazo’ Terbaik UEFA Bagi Musim 2020/2021
Cristiano Ronaldo Sanggup Potong Gaji Untuk Kekal Di Juventus