Julen Lopetegui dijangka dalam risiko untuk dipecat. Keputusan dalam aksi el clasico sangat penting untuk beliau.
Florentino Perez dilaporkan sudah hilang kepercayaan ke atas Lopetegui. AS melaporkan yang Perez memberikan Lopetegui seminggu untuk memperbaiki keadaan serba serbi tak kena dalam kem Real Madrid ketika ini.
Namun begitu, pengurus itu sebelum ini memberikan jaminan yang Perez menyokong beliau sepenuhnya.
Beliau berkata, isu pemecatan adalah perkara terakhir yang berlegar di fikirannya ketika ini.
Kekalahan di tangan Levante pada minggu lalu meningkatkan lagi tekanan kepada pengendali itu. Buat masa ini beberapa nama dikaitkan dengan jawatan panas di Real Madrid.
Antara yang paling mudah adalah Guti. Perez memiliki kepercayaan yang sangat tinggi kepada Guti dan menganggap beliau adalah pengurus masa hadapan Real Madrid.
Guti sebelum ini bekas jurulatih pasukan remaja B-19 Real Madrid. Beliau kini menjadi pembantu jurulatih di Besiktas.
Guti adalah pengurus yang seperti Zidane, memahami budaya dan memiliki hubungan yang kuat dengan kelab serta para pemain.
Seterusnya, laporan di Itali oleh Corriere Dello Sport menyatakan yang Real Madrid juga mempertimbangkan Antonio Conte sebagai pengurus baharu pasukan mereka sekiranya Lopetegui dipecat.
Akhbar itu juga menyatakan yang masa depan Lopetegui di Madrid bagaikan telur di hujung tanduk.
Conte ketika ini masih sibuk dengan isu penyelesaian pampasan dengan Chelsea. Beliau menyatakan yang Chelsea tidak membayar nilai sepatutnya kepada beliau.
Tidak ada pula dinyatakan yang ada klausa larangan Conte menyertai mana-mana pasukan untuk tempoh tertentu seperti mana dikenakan ke atas Mourinho dahulu.
Antonio Conte memiliki profail yang meyakinkan ketika membimbing Juventus, Itali dan juga Chelsea.