Walaupun gagal mara ke peringkat yang seterusnya, Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menamatkan saingan Kumpulan H Piala AFC dengan kemenangan selepas menewaskan Song Lam Nghe An FC 3-2 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.
Pengendali JDT, Rau Longhi memuji semangat juang anak buahnya yang tidak mengenal erti mengalah dan tetap memburu kemenangan.
“Kami mempunyai beberapa masalah dalam pasukan sejak dua bulan lepas namun kami sentiasa cuba untuk mendapatkan kemenangan.
“Apa yang penting pada malam ini adalah kami berjaya memenangi perlawanan ini. Kini kami akan memberikan tumpuan kepada perlawanan bertemu Kelantan untuk saingan Liga Super pada Sabtu ini.
“Bagi pendapat saya, para pemain telah memberikan corak permainan yang amat baik ketika separuh masa pertama. Walaupun kami melakukan kesilapan sehingga pasukan lawan berjaya menjaringkan gol, para pemain tetap cuba memperbetulkan keadaan tersebut.
“Saya juga gembira dengan persembahan Safawi, Hazwan Bakri dan beberapa lagi pemain muda kerana mereka telah cuba melakukan yang terbaik”, katanya dalam laman facebook JST.
Selepas ini skuad JDT akan mengharungi saingan Liga Super bertemu Kelantan di Kota Bahru pada hari sabtu ini.
“Perlawanan bertemu pasukan Kelantan merupakan antara perlawanan yang amat penting. Saya tahu Kelantan merupakan pasukan yang kuat.
“Setiap kali JDT bertemu mereka, kita dapat lihat bagaimana mereka mahukan kemenangan. Pada masa ini kami lebih empat mata dengan pasukan Pahang yang kini berada di tempat kedua dan kemenangan ini mampu menjarakkan lagi kedudukan kami di tangga teratas liga,” jelasnya.