Skuad kebangsaan Thailand akan memiliki logo baharu tidak lama lagi. Satu pertandingan mencipta logo telah dijalankan oleh Persatuan Bolasepak Thailand (FA Thailand) pada 16 hingga 30 April 2017 dan mendapat hampir 1000 penyertaan.
Ini adalah salah satu usaha untuk memberikan wajah baru kepada skuad kebangsaan mereka. Bermula 10 Ogos sehingga 31 Ogos 2017 depan, FA Thailand telah membuka proses undian untuk lima finalis yang telah disenarai pendek oleh Lembaga Pengarah FA Thailand.
Penilaian turut disertai oleh beberapa juri luar antaranya pereka dan pengarah seni filem, Prasobchok Thanasetvilai dan Prof. Panya Vijinthanasarn dari Bahagian Kebudayaan Thailand.
Berikut adalah senarai finalis pertandingan tersebut:
- Pratanacha Arree
- Adiet Firmansyah (Indonesia)
- Pongpong Buranpichet
- Piyasakanakit
- Thanathit Saeng Ping
Pemenang akan memenangi wang tunai berjumlah 100,000 Baht (RM 12,928). Berikut adalah reka bentuk kelima-lima finalis yang terpilih:
Proses pengundian dijalankan di laman sesawang rasmi FA Thailand di link ini.
FA Thailand sedang giat menjenamakan semula imej bolasepak di negara mereka. Pada penghujung tahun lalu, Thai League (Liga Thai) mendapat wajah baru hasil sentuhan Farmgroup, sebuah syarikat perunding reka bentuk di Bangkok.
Thai League merangkumi lima divisyen utama iaitu Thai League 1, Thai League 2, Thai League 3, Thai League 4 dan Amateur Tournament (Kejohanan Amatur). Penjenamaan semula adalah selari dengan perubahan landskap bolasepak global, dan disebabkan itu jugalah logo skuad kebangsaan Thailand juga akan dijenamakan semula.
Bukan setakat imej bolasepak yang merangkumi logo pertandingan yang mengalami perubahan, struktur liga turut mengalami perubahan berbanding tahun-tahun sebelum ini. Ia bukan sekadar imej dan logo liga semata-mata.
Sebagai contoh di Thai League 4, sebelum ini merangkumi 8 kumpulan iaitu pecahan mengikut daerah di Thailand, melibatkan hampir 100 kelab. Kini, 64 kelab dipecahkan kepada 6 kumpulan atau daerah.
“Pada masa kini, penggunaan logo untuk bolasepak telah berubah. Pasukan menjenamakan semula jenama mereka untuk ke tahap antarabangsa. Untuk menjadi moden, ringkas dan kontemporari, penggunaan logo atau jata diraja dilihat tidak bersesuaian dan boleh disalahgunakan,” ujar pegawai FA Thailand, Prasopchokthana Setthawilai.
Sementara itu bagi Timbalan Presiden Plan B. Eleven Co, Sarun Bulsuk, yang juga juri di dalam pertandingan ini, penggunaan logo pada masa kini sangat meluas berbanding sebelum ini, menjadikan penggunaan logo atau jata diraja dilihat sebagai satu isu sensitif dan tidak sesuai.
“Oleh itu, reka bentuknya mestilah ringkas dan universal,” tambahnya lagi.
Sumber Rujukan:
- Laman Sesawang Rasmi FA Thailand (2017): Join the Thai national team logo vote from the entries of your favorite contestant; http://fathailand.org/news/931
- Underconsideration.com, Armin (2017): New Logo and Identity for Thai League by Farmgroup; http://www.underconsideration.com/brandnew/archives/new_logo_and_identity_for_thai_league_by_farmgroup.php