Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengatakan beliau dan pasukannya akan waspada akan ancaman yang akan diberikan oleh Wolverhampton Wanderers yang dianggap bahaya olehnya.
Menjelang aksi pertemuan mereka di Anfield, Klopp memuji persembahan yang ditampilkan oleh anak-anak buat Nuno Espirito Santo yang beraksi cemerlang musim ini.
“Mereka sangat, sangat bahaya. Saya rasakan hasil kerja yang dilakukan oleh Nuno Espirito Santo adalah cukup hebat.”
“Dengan tekanan bermain di Europa League, saya rasa mereka mula rasakan perbezaanya di awal musim dan kemudiannya berjaya menyesuaikan diri dengan baik.”
Wolverhampton Wanderers bermain di saingan Europa League dan semestinya ianya sedikit berbeza buat mereka kerana pada musim lalu mereka hanya terlibat dengan saingan domestik sahaja.
Namun begitu, mereka kekal memberikan persembahan cemerlang. Buktinya, mereka baru saja menewaskan Manchester City dengan jaringan 3-2.
Klopp turut memuji kehebatan pemain mereka, Adama Traore yang kini merupakan pemain yang cukup bahaya dalam skuad Wolverhampton Wanderers.
“Akhirnya, Adama Traore telah menemui pengurus yang tahu bagaimana hendak mainkan beliau.”
“Sebelum ini, beliau bermain sebagai bek sayap, kini Traore turut boleh bermain di bahagian serangan. Sememangnya pemain yang hebat.”
Klopp turut menganggap bermain menentang Traore cukup sukar kerana pemain itu boleh dikatakan sebagai pemain paling pantas di Premier League.
Liverpool akan bertemu Wolverhampton Wanderers pada pagi Isnin, jam 1.30 pagi waktu Malaysia.