Quantcast

BERITA

Liverpool Terpaksa Lupakan Khidmat Alisson Sehingga Enam Minggu

Penjaga gol Liverpool, Alisson sah terpaksa berehat selama beberapa minggu akibat kecederaan betis yang dialaminya ketika perlawanan pembukaan musim baharu menentang Norwich City pada hujung minggu lalu.

Penjaga gol antarabangsa Brazil berusia 26 tahun itu terpaksa dikeluarkan pada minit ke-39 dan digantikan dengan penjaga gol gantian, Adrian dalam perlawanan yang menyaksikan The Reds menewaskan Norwich City 4-1.

Tiada tempoh jelas untuk pemain itu kembali cergas sepenuhnya. Namun pengurus pasukan, Jurgen Klopp mengesahkan ia bukan perkembangan yang tidak baik untuk pasukannya.

“Ia tidak baik. Ia adalah kecederaan betis yang akan menyebabkan Alisson direhatkan untuk satu tempoh,” jelas Klopp.

Disebabkan kecederaan Alisson, Liverpool dijangka akan membawa masuk penjaga gol veteran, Andy Lonergan dengan kontrak singkat.

Alisson adalah watak utama kejayaan Liverpool pada musim lalu, membantu kelab Merseyside itu muncul juara UEFA Champions League, dan menduduki tangga kedua Liga Perdana Inggeris.

“Saya tidak mahu membuat andaian sebenar bila beliau [Alisson] akan kembali – ia pasti beberapa minggu, dan kemudian kita akan lihat.

“Saya sudah melihat seperti enam minggu, tetapi Ali [Alisson] tidak pernah mengalami banyak kecederaan sepanjang kariernya. Maka saya mengambil pendekatan tunggu dan lihat bagaimana proses pemulihan itu. Tetapi ia pasti beliau tidak akan bersama pasukan untuk beberapa minggu,” jelas Klopp mengenai situasi penjaga gol itu.