Liverpool telah mengumumkan akan menawarkan baucar bayaran bernilai £50 kepada setiap penyokong mereka yang telah membeli replika jersi bintang Brazil yang tertera nama ‘Coutinho 10’, sebagai bayaran ganti rugi.
Perkara tersebut dilakukan selepas kelab Merseyside itu mencapai persetujuan untuk membenarkan Philippe Coutinho untuk berhijrah ke Nou Camp.
Bagaimanapun, bayaran baucar tersebut hanya akan diberikan kepada penyokong yang membeli jersi replika yang tertera nama Coutinho beserta nombor jersi pemain tersebut bagi musim 2017-18 sahaja.
Selepas lima musim bersama Liverpool, Coutinho akhirnya akan beraksi di La Liga, setelah gergasi Catalan tersebut akhirnya berjaya memaksa Liverpool menerima tawaran bernilai €160 juta untuk pemain tersebut.
Nilai perpindahan tersebut sekaligus menjadi rekod perpindahan tertinggi melibatkan kelab daripada Britain. Bagaimanapun, nilai tersebut akan dibayar kepada Liverpool berdasarkan pecahan.
€120 juta adalah nilai yang dijamin akan diperolehi oleh Liverpool. Manakala baki €40 juta lagi adalah berdasarkan prestasi dan jumlah penampilan oleh pemain Brazil tersebut bersama kelab baharunya.
Dalam satu kenyataan mengenai tuntutan baucar bayaran untuk ganti rugi jersi Coutinho, pihak kelab menjelaskan tuntutan hanya akan diberikan kepada mereka yang melakukan pembelian di kedai cenderamata rasmi atau pun cawangan milik kelab tersebut dan juga pembelian yang dilakukan melalui laman web rasmi e-dagang Liverpool.
Untuk melakukan tuntutan, mereka harus hadir ke mana-mana cawangan kedai cenderahati rasmi Liverpool, beserta dengan jersi replika musim 2017-18 milik Coutinho.
Jersi tersebut juga harus ditampilkan bersama dengan bukti pembelian, untuk menuntut baucar bernilai £50 tersebut. Jersi replika Coutinho tersebut tidak akan diambil oleh pihak kelab, dan kemudiannya akan dipulangkan kepada pembeli tersebut setelah pengesahan dilakukan.
Baucar yang diberikan sebagai bayaran ganti tersebut hendaklah digunakan di antara 13 Januari 2018 sehingga 31 Mei 2018 di mana-mana cawangan kedai rasmi Liverpool di UK dan juga Ireland sahaja.