Quantcast
Misi Balas Dendam Liverpool & Jurgen Klopp, Kembali Buru Gemilang Silam UCL


KAJIAN & FAKTA

Misi Balas Dendam Liverpool & Jurgen Klopp, Kembali Buru Gemilang Silam UCL

Wednesday, 13 Sep 2017

Di era yang berbeza 13 tahun yang lalu Liverpool beraksi dengan 10 pemain. Kelab Merseyside ini perlukan 2 gol untuk menghidupkan peluang mereka mara ke peringkat seterusnya dalam saingan bola sepak paling berprestij peringkat kelab di eropah.

Seperti kebiasaan, harapan akan dipaling kepada penyelamat berstatus legenda di kalangan pengikut-pengikut setia yang melaungkan nyanyian keramat ‘You’ll Never Walk Alone’.

Pemain itu tidak lain dan tidak bukan ialah Steven Gerrard.

(Photo by Andrew Powell/Liverpool FC via Getty Images)

Gerrard berjaya menghasilkan gol penyamaan hasil sepakan percuma yang menuju penjuru gawang lawan. Namun sang penyelamat ini pun tidak mampu untuk menyelamatkan kelab kesayangannya itu daripada tersingkir.

Perlawanan tersebut berakhir. Catatan di scoreboard digital di Anfield terpampang: LIVERPOOL 1-1 BASEL.


(Photo by Andrew Powell/Liverpool FC via Getty Images)

The Kop, panggilan lain buat fanatik Liverpool, senyap, sunyi dan sepi untuk seketika. Kedengaran selepas itu hanya keluhan penyokong yang tetap setia walaupun terlepas peluang kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada musim sebelumnya, kini disingkirkan dari UEFA Champions League.

Perlawanan menentang Basel tersebut berlangsug pada Disember 2014. Ia adalah malam yang mendukacitakan buat juara eropah sebanyak 5 kali itu. Ia juga perlawanan terakhir Steven Gerrard dan Liverpool di Champions League.

Penyokong Liverpool pasti tidak boleh melupakan sindiran Basel di laman Instagram milik kelab Swiss itu ketika menyingkirkan Liverpool di peringkat kumpulan.

33 bulan kemudian selepas melepasi halangan dari wakil Jerman, Hoffenheim, Liverpool kembali kepada arena dan pentas yang pernah menobatkan mereka sebagai sebahagian daripada gemilang bola sepak Eropah.


Situasinya mungkin berbeza. Liverpool pasti mahukan skrip yang berbeza.

Hanya Dejan Lovren dan juga Jordan Henderson yang masih bersama Liverpool sejak perlawanan menentang Basel pada 2014, dan hampir pasti akan diturunkan untuk berhadapan dengan Sevilla pada awal pagi nanti.

Gerrard adalah simbol dan figura untuk sebuah kelab yang meletakkan harapan kepada keupayaan individu. Kini nama Gerrard bukan lagi berada di dalam kesebelasan utama pasukan ini.

(Photo by John Powell/Liverpool FC via Getty Images)

Auranya mungkin dirasai di kalangan pemain sedia ada jika gemilang lalu dijadikan inspirasi di pertandingan ini. Namun demikian, ia bukan lagi tugasan individu tetapi keseluruhan anggota pasukan anak buah Jurgen Klopp.

Jika Gerrard memegang status pemenang pertandingan ini, Jurgen Klopp merupakan finalis UCL.


Pengendali dari Jerman ini pernah membawa Borussia Dortmund ke Wembley sebagai sebuah pasukan kerdil- dengan pendapatan dan gaji pemain yang lebih kecil daripada Queen Park Ranger’s pada ketika itu.

Ia adalah pencapaian yang menakjubkan oleh Klopp dan pasukan Dortmund bimbingannya walaupun gagal mengulangi kejayaan musim 1996/97.

(Photo by Tony Marshall – EMPICS/PA Images via Getty Images)

Liverpool mungkin pernah memiliki 3 pengurus yang pernah membawa pasukan Merseyside itu menjuarai pertandingan eropah.

Namun tidak seorang pun daripada mereka yang tiba di Anfield dengan pengalaman pernah membimbing pasukan lain ke final seperti yang pernah dilakukan oleh Klopp.

Lupakan pengalaman pertama Klopp bersama Dortmund dalam pertandingan yang sama pada musim 2011-12. Dortmund seri sekali dan menang sekali sebelum tersingkir di peringkat kumpulan.

Buat masa ini, penyokong Liverpool berhak untuk berasa optimis, bahawa pasukan mereka mampu pergi jauh dalam pertandingan ini. Kenapa tidak? Mereka mempunyai seorang pengurus yang sudah membuat 2 penampilan di perlawanan akhir pertandingan Eropah.

(Photo by Alex Livesey/Getty Images)

Malah jika dua kelab Manchester dijadikan perbandingan, Jose Mourinho dan Pep Guardiola juga tidak memiliki ratio kejayaan yang dimiliki oleh Klopp ketika bersama kelab yang lebih besar di Sepanyol, Itali dan Jerman.

Salah satu daripada pertandingan akhir ini ialah ketika bertemu dengan Sevilla di dalam pertandingan UEFA Europa League (UEL) pada 2016. Ini bermakna kelab Merseyside itu mempunyai peluang untuk menebus kekalahan dalam aksi final tersebut, walaupun di pentas yang berbeza.

Liverpool mendahului melalui jaringan Daniel Sturridge dalam perlawanan akhir pada 2016 sebelum Sevilla bangkit membalas dengan 3 gol untuk kejayaan hatrik bergelar juara untuk 3 musim berturut-turut.

Kegagalan dan kelemahan pertahanan sehingga melepaskan gol dalam perlawanan akhir tersebut melenyapkan impian untuk melayakkan diri ke UCL pada musim berikutnya.

(Photo by Robbie Jay Barratt – AMA/Getty Images)

Kelemahan pertahanan juga sering berulang dan merupakan antara penyakit lama yang belum mampu diselesaikan oleh Klopp.

Perlawanan pada Sabtu lepas adalah contoh yang paling hampir. Walaupun selepas kad merah Sadio Mane, amat sukar untuk membayangkan pasukan dengan reputasi Liverpool melepaskan sehingga 5 gol kepada Manchester City.

Kita menjangkakan respon dari kelompok Liverpool yang dimalukan oleh City pada hujung minggu lalu. Alasannya mudah. Klopp adalah pengendali yang mementingkan komitmen, kebersamaaan dan juga semangat berpasukan.

Mane dinafikan oleh pihak FA dalam rayuan kad merahnya. Champions League adalah pentas terbaik untuk mendiamkan pengkritiknya. Selain daripada Mane, seorang lagi senjata Klopp yang mungkin akan diturunkan ialah Philippe Coutinho.

(Photo by Robbie Jay Barratt – AMA/Getty Images)

Klopp tidak menyenaraikan Coutinho di dalam skuad ketika menentang City. Pemain antarabangsa Brazil itu turut terlepas saingan awal EPL membabitkan kelab Merseyside tersebut selepas saga perpindahan ke Barcelona meleret sehingga permulaan musim.

Tetapi Champions League adalah pentas terbaik untuk memulakan hubungan damai dalam mengejar cita-cita kejayaan yang diimpikan oleh perancang berusia 25 tahun itu.

“Phil adalah pemain yang hebat. Kami berharap dapat menurunkan beliau secepat mungkin,” ujar Klopp dalam sidang media sebelum menjelang hari perlawanan menentang Sevilla.

(Photo by City-Press via Getty Images)

Klopp juga mempunyai lebih pilihan di bahagian tengah. Kehadiran Alex Oxlade-Chamberlain mampu memberi dimensi yang berbeza kepada corak serangan pasukan jika fleksibiliti bekas pemain Arsenal ini dibandingkan dengan satu lagi muka baru di Anfield, Mohamed Salah.

Nasib tidak menyebelahi Oxlade-Chamberlain apabila tewas dua kali, 4-0 dan kemudian 5-0 dengan dua kelab berbeza. Tetapi nasib malang itu harus diubah.

Klopp tidak pernah memenangi 5 perlawanan terakhir ketika pasukannya berhadapan dengan Sevilla. Tetapi Liverpool kendaliannya kali ini akan tampil berbeza jika dibandingkan dengan skuad kendaliannya sebelum ini.

(Photo by City-Press via Getty Images)

33 bulan tanpa pertandingan eropah, Klopp membina satu dinasti baharu di Anfield. Mereka mempunyai karakter yang lebih gagah.

Penampilan sebelum ini agak mengecewakan buat Liverpool dan penyokongnya dengan hanya kemenangan ke atas kelab kerdil Debrecen dan juga Ludogorets berada di dalam senarai.

Namun mereka ada dua pilihan jika kisah silam kembali menghantui. Pertama, terus hidup dalam sejarah silam tanpa mengambil pengajaran daripadanya atau kedua, menuju gemilang lampau dan jadikan ia inspirasi kejayaan pada musim ini.

(Photo by Clive Brunskill/Getty Images)

Anda mungkin bertanggapan ulasan di dalam artikel ini tidak adil. Namun ini adalah realiti Liverpool pada hari ini. Mereka harus membuat pilihan dan melakukannya.

Kami pasti Klopp dan Liverpool adalah pasukan yang lebih bijak dan matang berbanding sebelum ini.

Kali ini mereka pasti tampil dengan janji yang lebih konkrit!

Nota editor: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili Semuanya BOLA sebagai sebuah organisasi.

Sumber:

1. Phil McNulty, BBC Sports (2014): Liverpool v Basel: Swiss club mock Reds, Chelsea and Tottenham; http://www.bbc.com/sport/football/30407266

2. Sachin Nakrani, The Guardian (2017): Liverpool return to Champions League with hope and intent for fresh glory; https://www.theguardian.com/football/2017/sep/12/jurgen-klopp-liverpool-champions-league-sevilla

3. Marc Williams, Daily Star (2017): Frank Lampard: Why Liverpool can’t win the Champions League this season; http://www.dailystar.co.uk/sport/football/644344/Liverpool-Frank-Lampard-Champions-League-Manchester-City

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!

Topik Berkaitan

Kategori Artikel


Kongsi

Komen Artikel: Misi Balas Dendam Liverpool & Jurgen Klopp, Kembali Buru Gemilang Silam UCL



Berita Bola Yang Menarik